KUALA LUMPUR: Karenah birokrasi yang wujud ketika ini tidak mesra perniagaan sehingga menjejaskan usaha memulakan atau mengembangkan perniagaan. 


Ringkasan AI
  • Terlalu banyak peraturan dan pelesenan menyulitkan urusan perniagaan tanpa memberikan pulangan produktiviti yang jelas. Kos menjalankan perniagaan juga tinggi disebabkan oleh caj lesen dan caj-caj pelbagai.
  • Malaysia perlu membuka akses kepada fasiliti kewangan yang berdaya saing untuk perniagaan dalam negara. Inovasi produk kewangan dan kebenaran bagi dana asing masuk ke Malaysia akan membantu pertumbuhan persaingan yang lebih sihat.


Pengasas Bersama Industries Unite, Datuk David Gurupatham berkata, kerajaan perlu menilai semula peraturan-peraturan sedia ada dan mempertimbang untuk menggugurkan sebarang peraturan yang hanya menyulitkan urusan perniagaan tanpa sebarang pulangan produktiviti yang jelas.

“Anda pergi ke Thailand, Indonesia dan Singapura, sangat mudah untuk jalankan perniagaan. Anda ke Malaysia, sukar untuk jalankan perniagaan. Faktanya, terlalu banyak peraturan dan pelesenan. Birokrasi kita membunuh perniagaan. 

“Kos menjalankan perniagaan tidak murah kerana ada caj lesen dan caj-caj pelbagai. Kita perlu mulakan hal-hal yang boleh dilakukan segera untuk memudahkan orang awam memulakan perniagaan. Pastikan kos memulakan perniagaan lebih murah,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam program Dialog Tiga Penjuru pada Khamis.

Birokrasi 'membunuh’ perniagaan yang baru meningkat naik – Industries Unite

Tambah David, akses kepada fasiliti kewangan yang berdaya saing juga perlu terbuka kepada perniagaan-perniagaan dalam negara. Menurutnya, ini akan membantu pertumbuhan persaingan yang lebih sihat tanpa memerlukan langkah intervensi kerajaan yang memerlukan masa yang lama sebelum dikuatkuasakan.

“Akses kepada fasiliti kewangan, perkenalkan inovasi produk kewangan dan benarkan dana asing masuk ke Malaysia. Kita jauh ketinggalan berbanding Singapura yang mengadaptasi teknologi dalam aspek kewangan dan produk,” ujarnya.



Pada 19 Jun lalu, dilaporkan Malaysia jatuh tujuh anak tangga ke kedudukan ke-34 dalam Kedudukan Daya Saing Dunia IMD 2024, manakala Singapura kekal di tangga teratas.

Malaysia juga telah jatuh empat anak tangga ke tempat ke-10 daripada 14 negara Asia Pasifik yang termasuk dalam ranking itu, menurut sekolah perniagaan yang berpangkalan di Switzerland, International Institute for Management Development (IMD).

Di rantau Asia Tenggara, Malaysia berada di kedudukan lebih rendah daripada Thailand (ke-25) dan Indonesia (ke-27) tetapi lebih tinggi daripada Filipina (ke-52).