Syarikat penerbangan tambang rendah, AirAsia Bhd, memenangi kategori "Anugerah Syarikat Penerbangan Tambang Rendah Terbaik 2013" di majlis penyampaian Anugerah 2013 Air Transport News (ATN) di Montreal, Kanada.

AirAsia dalam satu kenyataan hari ini berkata anugerah tersebut yang memasuki tahun keduanya, telah membina reputasi sebagai penghargaan utama bagi syarikat peneraju dan personaliti dalam industri pengangkutan udara.

Ia berkata anugerah yang dimenangi oleh AirAsia itu adalah satu daripada kategori baharu yang diwujudkan bagi 2013 dan syarikat berkenaan merupakan yang pertama memenangi penghargaan tersebut.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AirAsia Tan Sri Tony Fernandes berkata dedikasi berterusan syarikat itu dalam menyediakan perkhidmatan premium bagi rangkaian jarak dekat dan jarak jauhnya memberi sumbangan besar kepada kejayaan AirAsia sebagai syarikat penerbangan kos rendah terbaik di dunia.

"Suatu yang menakjubkan untuk memikirkan bahawa 11 tahun lepas kami hanya memiliki dua pesawat lama yang beroperasi, dan sekarang kami memiliki 120 pesawat yang beroperasi di lima negara dan terus menjadi syarikat penerbangan paling menguntungkan, meskipun keadaan ekonomi yang tidak menentu," katanya.

Beliau berkata AirAsia amat berbesar hati menerima anugerah ini dan ia merupakan satu permulaan amat baik bagi tahun 2013.