KUALA LUMPUR: Sebanyak 37,415 usahawan terpaksa 'gulung tikar' sepanjang tempoh pandemik COVID-19 melanda negara, kata Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Tan Sri Noh Omar.

Beliau berkata daripada jumlah itu, sebanyak 26,007 daripadanya adalah usahawan mikro manakala bakinya 2,738 adalah perusahaan kecil dan sederhana (PKS).

Justeru, katanya kementerian menyambut baik keputusan kerajaan untuk menarik semula larangan rentas negeri yang bermula semalam.

"Pengumuman ini merupakan langkah yang terbaik dan peluang kepada rakyat terutamanya usahawan perusahaan mikro kecil dan sederhana (PMKS) bagi memulihkan perniagaan mereka dan yang penting meneruskan kelangsungan hidup mereka," katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut Noh, semua sektor perniagaan terutama sektor informal akan menerima ganjaranpendapatan setelah melalui fasa pertama ditutup, terakhir dibuka (FCLO).

"Saya telah menggariskan dasar dengan menumpukan kepada penyelarasan dan penjajaran pelaksanaan program-program di kementerian dan 11 agensi di bawahnya bagi memastikan segala inisiatif dan pakej-pakej yang diperkenalkan oleh kerajaan sampai kepada golongan usahawan PMKS yang terkesan," katanya.

Beliau berkata penyelarasan ini meliputi kumpulan sasar, nilai pembiayaan, kadar bantuan, geran, skop program dan mekanisma pelaksanaan.

"Kumpulan fokus tersebut adalah golongan usahawan dan koperasi yang terkesan akibat COVID-19;golongan yang diberhentikan kerja dan berminat untuk menjadi usahawan dan graduan yang tiada pekerjaan dan ingin menjadi usahawan; golongan asnaf serta usahawan yang menggunakan modal sendiri," katanya.

Katanya kementerian optimis kebenaran tersebut dapat memberi keseimbangandalam membantu mempergiatkan kembali aktiviti ekonomi secara fiskal dan pada masa sama dapat melandaikan lengkuk jangkitan COVID-19.

Kementerian terus komited dalam agenda melahirkan Bangsa Usahawan, selaras dengan aspirasi Keluarga Malaysia selari dengan usaha mempertingkat keseimbangan ekonomi di wilayah kurang membangun, penekanan kepada aspek keusahawanan akan dipertingkatkan sebagai antara potensi peluang penjanaan pendapatan yang lebih menyeluruh, katanya.

-- BERNAMA