Namun, bekas perdana menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad mendakwa, pemimpin negara yang ada ketika ini tidak fokus pada agenda memajukan negara.
Kata Dr Mahathir, masa depan negara bergantung pada siapa yang memegang kuasa, dan pemimpin seharusnya dalam kalangan mereka yang berpengetahuan, berwibawa dan memahami peranan teknologi moden.
“Kalau kita pilih kuasa (pemimpin) sebab dia popular dan disukai ramai tapi dia tak ada idea, bagaimana nak bangunkan Malaysia? Masa depan Malaysia akan menjadi buruk.
“Sebaliknya kalau kita pilih pemimpin dan dia terbuka untuk mendengar nasihat, saya fikir Malaysia boleh dan akan mencapai matlamat negara maju,” katanya.
Selain itu, beliau menegaskan kerajaan perlu memberikan galakan dan sokongan kepada sektor swasta untuk menumpukan pada perniagaan, terutama dalam aspek pembangunan teknologi.
“Kalau sektor swasta untung, barulah kerajaan boleh kutip cukai. Kalau sektor swasta rugi, kerajaan tak dapat apa pun.
“Jadi menolong sektor swasta, terutamanya dalam aspek teknologi yang kerajaan sendiri kurang faham, ini satu kemestian untuk kerajaan yang dipilih pada masa depan,”katanya ketika bercakap dalam Business Forum Series II, Navigating The Future: Business Empowerment And New Economic Opportunities di Yayasan Kepimpinan Perdana, pada Ahad.
Dalam pada itu, Dr Mahathir menggesa pemilik pernigaan menggunakan teknologi sebaik mungkin dalam bagi memajukan diri dan perniagaan mereka.
Katanya, untuk membolehkan potensi teknologi digunakan sepenuhnya, ia harus difahami terlebih dahulu dan penyelidikan adalah titik permulaan untuk melakukannya.
“Kerajaan telah memperuntukkan beberapa dana tetapi sangat sedikit untuk penyelidikan.
“Penyelidikan adalah sangat penting, kerana anda akan menemui perkara lain yang boleh anda lakukan dan ke arah mana teknologi itu akan pergi, semua itu dari penyelidikan.
“Sudah tentu, untuk sebuah syarikat kecil mempunyai kemudahan penyelidikan tidak mungkin, tetapi anda sendiri (pemilik perniagaan) juga harus meluangkan sedikit masa memikirkan teknologi yang anda tahu dan bertanya kepada diri sendiri, apa lagi yang boleh anda lakukan, ke mana teknologi itu akan berkembang,” katanya lagi.