Bekas Ahli Parlimen Langkawi yang memakai kot berwarna hitam, turut ditemani isterinya, Tun Dr Siti Hasmah Mohamad Ali dan anak lelaki, Datuk Seri Mukhriz
Dr Mahathir yang menyambut hari lahir yang ke-99 pada bulan lalu tiba pada jam 9.38 pagi dan disapa penyokongnya yang berkumpul di lobi mahkamah sejak awal pagi.
Perbicaraan hari pertama di hadapan oleh Pesuruhjaya Kehakiman (JC), Gan Techiong, berlangsung pada jam 10 pagi.
Sebelum ini, prosiding berkenaan tertangguh beberapa kali, selepas Dr Mahathir tidak sihat dan dimasukkan ke Institut Jantung Negara (IJN) kerana mengalami masalah pernafasan.
Berdasarkan pernyataan tuntutan yang difailkan pada 20 Julai 2022, Dr Mahathir mendakwa Ahmad Zahid, 71, telah mengeluarkan kenyataan memfitnah terhadapnya semasa mesyuarat UMNO Bahagian di Kelana Jaya pada 30 Julai 2017.
Dr Mahathir percaya, individu yang dirujuk Presiden UMNO selaku defendan, dalam kenyataan fitnah sebagai 'orang itu', 'dia' dan 'Mahathir anak lelaki Iskandar Kutty' jelas merujuk kepadanya secara spesifik.
Susulan itu, beliau berkata, kedudukannya sebagai seorang negarawan dan tokoh politik yang berpengaruh di mata dunia dipandang serong.
Dr Mahathir juga mendakwa, kenyataan fitnah Ahmad Zahid secara tersirat memberi maksud kredibilitinya untuk memimpin negara dan parti yang mengutamakan orang Melayu secara keseluruhan, dipersoal dan diragui.
Dalam satu kenyataan media, peguam, Rafique Rashid yang mewakili Dr Mahathir berkata, anak guamnya selaku plaintif akan memberikan keterangan pada jam 10 pagi.
Katanya, plaintif dijangka tiba di lobi mahkamah pada jam 9.40 pagi dan sama ada terdapat sidang media atau sebaliknya, akan dimaklumkan kemudian. - Sinar Harian