KUALA LUMPUR: Hasrat penyertaan Malaysia dalam BRICS (Brazil, Russia, India, China dan Afrika Selatan) merupakan usaha negara dalam menegakkan dasar dan pendiriannya yang bebas dan berkecuali, mengimbangi percaturan kuasa besar dan membuka peluang perniagaan dan pelaburan yang baharu.

Kementerian Luar dalam jawapan disiarkan dalam laman sesawang Parlimen memaklumkan penyertaan tersebut, akan meningkatkan lagi keterlihatan Malaysia di persada antarabangsa, terutamanya dalam menangani pelbagai cabaran global yang mendesak.

"Keanggotaan dalam BRICS akan melengkapkan peranan aktif Malaysia dalam rangkaian kerjasama serantau dan antarabangsa merangkumi Persatuan Negara-Negara Asia Tenggara (ASEAN), Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC), Pergerakan Negara-Negara Berkecuali (NAM), dan Kumpulan 77 + China," menurut jawapan kementerian itu dalam laman sesawang Parlimen.

Kementerian Luar menjawab pertanyaan Azli Yusof (PH-Shah Alam) mengenai manfaat jangka pendek dan panjang yang telah dan akan diperoleh negara dengan menyertai BRICS dan kesannya terhadap kerjasama sedia ada dengan Amerika Syarikat (AS) dan Kesatuan Eropah (EU).

Kementerian Luar dalam jawapan itu memaklumkan Malaysia komited untuk memajukan agenda Global South dalam memperluaskan kerjasama Selatan-Selatan.

Menurut kementerian itu, platform BRICS boleh digunakan untuk memantapkan lagi kerjasama di antara Global South, lebih-lebih lagi ketika Kepengerusian ASEAN 2025 oleh Malaysia.

"Daripada sudut ekonomi dan perdagangan antarabangsa, BRICS yang dianggotai oleh sembilan buah negara dengan saiz pasaran kumulatif hampir 3.2 bilion penduduk, akan dapat memperluaskan akses pasaran produk dan perkhidmatan Malaysia ke Negara Anggota BRICS," menurut jawpan tersebut.

Kementerian Luar memaklumkan sebagai sebuah negara perdagangan, Malaysia terus komited untuk memastikan hubungan kerjasama dengan rakan perdagangan penting negara, termasuk AS dan EU terus diperkukuh.

"AS dan EU merupakan rakan dagang ketiga terbesar Malaysia dengan nilai dagangan dua hala bagi tahun 2023 masing-masing berjumlah RM250.25 bilion dan RM206.69 bilion.

"Malaysia akan terus meneroka peluang kerjasama baharu dengan Amerika Syarikat dan Kesatuan Eropah yang merangkumi teknologi hijau, tenaga boleh diperbaharui, pendidikan dan pembangunan sumber manusia," menurut kementerian itu.

-- BERNAMA