Jika ada yang pernah mengikuti siaran langsung solat Terawih dari Masjidil Haram Mekah, mungkin ada yang tertanya-tanya apakah objek putih seperti jambatan yang mengelilingi Kaabah. Ia sebenarnya dikenali sebagai jambatan gantung atau laluan tawaf bertingkat. Jambatan bergantung ini adalah pembinaan tawaf bertingkat sementara untuk menampung jumlah jemaah untuk melakukan tawaf ketika projek pembesaran Masjidil Haram dijalankan secara menyeluruh. Pembesaran berkenaaan menyebabkan sebahagian kawasan tawaf di sekeliling Kaabah terpaksa ditutup sementara waktu.

Tawaf bertingkat

Menurut sumber Kementerian Haji Arab Saudi ia dijangka siap Rabu ini. Jambatan itu dijangka mampu menampung 7,000 jemaah setiap jam dan hanya dikhususkan untuk golongan warga emas, kurang upaya dan golongan uzur yang terpaksa melakukan tawaf menggunakan kerusi roda.

Jurucakapnya, Hatem Qadi memaklumkan kerja-kerja pemasangan tiang dan lantainya masih berjalan dan dijangka dibuka secara rasmi pada pertengahan bulan puasa. Kewujudan jambatan ini akan melancarkan pergerakan tawaf yang sebelum ini mungkin terjejas akibat daripada kewujudan kerusi roda yang mengganggu jemaah lain sehingga kadang-kadang mengakibatkan kemalangan dan kesesakan teruk.

Bagi memudahkan pengguna, pihak Masjidil Haram bakal membuka 3 laluan ke kawasan tawaf bertingkat ini.

Jambatan gantung ini dibina 2 tingkat dengan 12 meter lebar dan ketinggiannya ialah 13 meter. Pembinaannya hanyalah sementara sehingga projek pembesaran kawasan tawaf selesai.

Projek meluaskan kawasan tawaf atau "mataf" merupakan sebahagian daripada projek penting yang bertujuan untuk memberikan keselesaan jemaah haji dan umrah dengan membolehkan ibadat itu dilakukan dengan lebih cepat dan lancar. Projek ini dijalankan dalam 3 peringkat dalam tempoh 3 tahun.

Tawaf bertingkat

Pada bulan Muharram lalu, kerja pembesaran dimulakan dengan meruntuhkan sebahagian binaan berhampiran dan kerja-kerja berkaitan mengakibatkan kawasan tawaf yang sedia ada hanya mampu menampung 22,000 ribu jemaah setiap jam, berbanding 48,000 jemaah sebelum ini. Selepas projek pembesaran selesai ia dijangka mampu menampung 105,000 jemaah setiap jam.

Khadimul Haramain Al-Syarifain, Raja Abdullah Abdul Aziz sebelum ini melancarkan projek pembesaran Masjidil Haram di Mekah dan Masjid Nabawi di Madinah dengan peruntukan 34 bilion dolar. Antara yang terpenting ialah perluasan Masjid Nabawi bagi menampung 2 juta jemaah dan perluasan kawasan tawaf. Kerja-kerja pembesaran ini menyebabkan kuota haji seluruh dunia termasuk Malaysia dikurangkan.