MEKAH: Enam lagi kematian baharu dicatat dalam kalangan kuota 31,600 jemaah haji Malaysia musim ini, menjadikan 14 orang kesemuanya jemaah haji negara meninggal dunia di Tanah Suci setakat 19 Jun 2024.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Mohd Na'im Mokhtar memaklumkan, kesemua mereka bagaimanapun sempat berwukuf pada 9 Zulhijjah (15 Jun 2024).

Enam jemaah itu termasuk Bawi Solek, 79 tahun, dari Sarawak, Raksan@Hassan Matasil, 74 tahun,  dari Kota Kinabalu Sabah dan Madon Mohamed, 71 tahun, dari Masai Johor.

Tiga lagi jemaah ialah Roba'ayah Yusoff, 71 tahun, dari Beruas, Perak, Syed Abu Hasan Basri Syed Ahmad, 74 tahun, dari Sauk, Perak dan Nik Noor Azlinna Noor Basir, 54 tahun, dari Kota Baharu Kelantan.

"Kebanyakan mereka ini meninggal dunia kerana terkena serangan jantung dan mendapat jangkitan kuman pada darah," katanya kepada petugas media pada sidang media terakhir beliau di Ibu Pejabat Lembaga Tabung Haji (TH), di Abraj Janadriyah, di sini.

Beliau berada di Mekah sejak 8 Jun lepas untuk lawatan kerja dan menghadiri Simposium Haji Perdana serta menunaikan haji bagi musim 2024.

Mohd Na'im berkata, kesemua jemaah haji Malaysia yang meninggal dunia di Tanah Suci dikebumikan sama ada di Tanah Perkuburan Shuhada Al-Haram atau Tanah Perkuburan Sharayaa, Mekah.

Tambah beliau, waris kepada semua Allahyarham yang berada di Malaysia sudah dimaklumkan mengenai kematian berkenaan.

Sementara itu, beliau turut memaklumkan, dua daripada 94 jemaah yang menerima rawatan di Tanah Suci, tidak dapat menunaikan haji pada musim kali ini disebabkan keadaan kesihatan mereka yang tidak mengizinkan.

"Mereka juga tidak dimasukkan dalam program Safari Wukuf atas nasihat doktor, " ujar beliau.

Safari Wukuf ialah program yang diperkenalkan Lembaga Tabung Haji (TH) di mana pesakit yang terlantar dibawa menggunakan bas yang diubah suai menjadi ambulans untuk berwukuf di Arafah selama dua jam dan mendengar khutbah Arafah sebelum dibawa pulang semula untuk rawatan lanjut.

Mohd Na'im berkata, daripada sejumlah 94 jemaah yang dirawat, 79 orang berada di Pusat Rawatan TH, 12 di Hospital Arab Saudi manakal bakinya tiga orang dirawat di Klinik Kecemasan di Abraj Janadriyah.

"Kebanyakan mereka ini dirawat kerana ada masalah berkaitan pernafasan seperti jangkitan kuman pada paru-paru disebabkan cuaca panas dan kering," ujar beliau.

Mengenai operasi haji pula, Mohd Na'im memaklumkan, daripada kuota 31,600, 58 peratus jemaah menyempurnakan Nafar Awwal (melontar jamrah pada dua daripada tiga hari tasyrik) manakala selebihnya Nafar Thani (melontar di ketiga-tiga jamrah pada hari tasyrik) dan pulang ke Mekah semula dari Mina pada tengah hari Rabu.

"Mereka ini, jika tidak ke Madinah, akan bersiap sedia untuk pulang ke tanah air dengan penerbangan pulang pertama dijadual pada 24 Jun ini.

"Bagi jemaah yang masih ada di sini dan juga yang akan ke Madinah, saya nasihatkan untuk terus menjaga kesihatan diri, jangan terdedah kepada cuaca panas kerana pada 11 Zulhijjah lalu, suhunya mencecah 50 darjah Celcius.

"Dan, suhu sebegini boleh menyebabkan strok haba. Ada laporan bahawa banyak kematian dicatatkan akibat strok haba ini di sini, di Tanah Suci, semasa haji," kata Mohd Na'im lagi.

Suhu pada hari wukuf 9 Zulhijjah adalah 48 darjah Celcius, iaitu kemuncak musim panas di Arab Saudi.

Berikut senarai 14 jemaah haji Malaysia yang meninggal dunia di Tanah Suci bagi musim haji 1445H2024M dan punca kematian mereka.

1. Abnil Hajar Ismail, 72 tahun (pembuluh darah pecah)

2. Mohd Zahir Ismail, 58 tahun (serangan jantung)

3. Ghazali Ahmad, 71 tahun (kegagalan buah pinggang)

4. Noormadiah Mat Ali, 53 tahun (pembuluh darah tersumbat)

5. Zuraida Mohd Haris, 37 tahun (pendarahan otak selepas koma enam hari)

6. Baharuddin Mohd Shood, 75 tahun (kanser usus, merebak ke hempedu)

7.  Abdul Manaf Hanapiah, 65 tahun (serangan jantung)

8. Sapiah Jalil, 66 tahun (serangan jantunng)

9. Bawi Solek, 79 tahun (serangan jantung) 

10. Raksan@Hassan Matasil, 74 tahun (serangan jantung)

11. Madon Mohamed, 71 tahun (paru-paru berair kerana masalah kegagalan jantung)

12. Roba'ayah Yusoff, 71 tahun (serangan jantung)

13. Syed Abu Hasan Basri Syed Ahmad, 74 tahun (serangan jantung)

14. Nik Noor Azlinna Noor Basir, 54 tahun (jangkitan kuman pada darah)