KUALA LUMPUR: Lembaga Tabung Haji (TH) meneruskan usaha melestarikan pemerkasaan dan pembangunan sahsiah kepimpinan pelajar melalui Program Kepimpinan Muda TH siri kedua melibatkan 90 orang pelajar dari Melaka, Negeri Sembilan dan Johor.

Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif TH Syed Hamadah Syed Othman berkata program itu dilaksanakan berikutan kejayaan siri pertama pada Februari lepas yang dilihat mencapai objektifnya dalam membantu meningkatkan daya kepimpinan dan keyakinan pelajar terutama daripada komuniti luar bandar.

"Selain membantu memupuk potensi pelajar yang akan menjadi generasi penerus kepimpinan masa hadapan, TH juga berhasrat untuk berkongsi maklumat lebih tepat berkaitan latar belakang TH dan memberikan gambaran lebih jelas berkaitan operasi haji yang kami laksanakan saban tahun.

"Kami percaya pelajar ini boleh berperanan menjadi duta kepada TH dan menyebarluaskan maklumat ini kepada masyarakat serta komuniti setempat agar mereka dapat memahami matlamat penubuhan serta mandat yang dipertanggungjawabkan kepada TH dengan lebih jelas dan tepat, insya-Allah," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Program tiga hari yang bermula Ahad lepas di Menara TH itu menghimpunkan pemimpin pelajar berumur 15 hingga 16 tahun daripada 30 sekolah luar bandar terpilih dengan kerjasama Kementerian Pendidikan dan Jabatan Pendidikan Negeri.

"Nik Mohd Hasyudeen berkongsi pengalaman dan kejayaannya dalam bidang perniagaan serta di sektor awam di Malaysia hingga ke rantau ASEAN. TH turut membawa pendakwah terkenal dalam kalangan generasi muda Ustaz Rahmat Mohd Sofyan (PU Rahmat) yang menyampaikan ceramah motivasi bagi pemantapan sahsiah rohani peserta," katanya.

Beliau berkata pelbagai aktiviti latihan dalam kumpulan turut dilaksanakan bagi melatih kemahiran peserta melibatkan kepimpinan, komunikasi, keyakinan dan kerjasama berpasukan selain kesemua pelajar dibawa melawat Pusat Operasi Haji TH di Hotel dan Pusat Konvensyen Movenpick, Sepang bagi mengetahui pengendalian operasi haji tanah air secara keseluruhan.

"Semoga program ini dapat membantu generasi muda hari ini cemerlang dalam bidang akademik dan mempunyai keutuhan jati diri dan budaya serta moral yang tinggi.

"Diharapkan juga akan menjadi pendorong semangat dan menjadikan anak-anak ini sebagai ejen perubahan dalam keluarga dan masyarakat seterusnya menyumbang kepada agama, bangsa dan negara suatu hari nanti," katanya.

-- BERNAMA