Kepada Tuan Perdana Menteri Benjamin Netanyahu,

Hanya selepas seminggu mengganas, lebih 200 nyawa tidak berdosa melayang, bangunan masjid, penempatan awam habis ranap, barulah kabinet Tuan bersetuju dengan cadangan Mesir untuk gencatan senjata bersama Hamas.

Persetujuan itu sama ada helah petanda tidak jujur Zionis atau bala tentera Tuan sudah mengaku kalah dengan balasan Hamas, itu sukar ditentukan. Ini kerana dalam peperangan sebelum ini, Tuan turut bertindak begitu. Setuju gencatan untuk tamatkan perang di Gaza.

Pilihan alternatif

Tiada apa yang boleh penduduk Gaza lakukan apabila tentera Tuan mengganas. Media yang jadi sumber maklumat - yang mana satu benar dan diselewengkan , dikuasai agensi yang sokong Tuan dan Yahudi. Tetapi Tuan perlu tahu, kini pentas media sosial jadi alat alternatif untuk menyaring berita-berita yang disajikan.

Palestine

Tuan Perdana Menteri,

Surat ini juga menjadi salah satu pilihan alternatif untuk memberitahu kepada dunia bahawa ada sesuatu perlu dilakukan untuk sebuah Gaza aman dan makmur. Walaupun impian itu nampaknya seperti ilusi dan bukan semudah mengelipkan mata, setidak-tidaknya Palestin ada impian berkenaan.

Sementara itu, biar ayat-ayat dalam surat ini bercerita, selebihnya membongkar apa yang sudah Tuan dan konco-konco Tuan lakukan untuk menzalimi Palestin.

Saya kongsikan dua surat lain untuk Tuan Perdana Menteri yang saya olahkan semula.

Surat 1

Saya merupakan seorang bapa kepada empat orang anak, tiga lelaki, seorang perempuan. Hidup di Gaza dan menjadi pemberi rezeki menyuap enam mulut sejak 50 tahun lalu saya boleh sifatkan sangat menduga. Alhamdulillah, dengan rezeki diberikan, anak-anak saya membesar dan dapat pula menolong saya meringankan beban hidup.

Tidak berpelajaran tinggi, tetapi pengalaman melalui kesusahan jadi sumber pendidikan utama kepada keluarga kami, termasuk anak-anak.

Tidak seperti tidur Tuan dan penduduk Israel lain yang barangkali dibuai mimpi enak, hidup kami sekeluarga seringkali terganggu oleh bunyi bedilan di darat dan jet berlegar di udara. Maklumlah, pejam celik usia kami di wilayah terkepung.

Namun, pada 9 Julai lalu, tentera Tuan benar-benar jadi zalim. Kesumat apa yang merasuk tentera Tuan menyebabkan bom mortar yang Tuan lancar, gugur di kediaman kami. Daging tiga anak lelaki saya dan sepupunya hancur, tidak terlawan panas bahan kimia dalam bom yang Tuan hantar.

Anak-anak yang jadi penyeri hidup hilang sekelip mata, bohong kalau saya katakan saya tidak terdera dengan peristiwa tragis itu. Tipu juga kalau saya khabarkan saya tidak gembira mereka syahid, mati berperang dengan Zionis.

Tetapi Tuan Perdana Menteri, mesti ingat, mereka yang hilang itu - anak-anak yang sudah tiada itu, Allah akan ganti dengan lebih baik, mungkin syuhada lain, lebih ramai.

Ingat itu wahai Tuan Perdana Menteri Israel.


Surat 2

Deras sahaja tulisan kepada Tuan ini dicatat, sama lajunya dengan perjalanan pelancar roket yang Tuan kirim untuk memusnahkan bumi Anbia Gaza. Biar saya perkenalkan diri, saya Hasan (bukan nama sebenar). Saya ada kembar, namanya Husin atau lebih dikenali sebagai Abu Omar.

Tentera perisik, Tuan kerah untuk siasat dan ganggu Abu Omar, katanya Abu Omar terlibat dengan Hamas. Kepada Tuan, Hamas seperti kuman barah yang perlu dihapuskan, jika tidak, akan memberi ancaman kepada Tuan dan rakyat Tuan.

Memang Abu Omar seorang pejuang, hakikat itu semua di Gaza tahu. Malah, semasa Intifada Pertama dan Kedua, Abu Omar turut ke medan bersama-sama Sheikh Al-Yassin, yang mati dibunuh pihak Tuan juga beberapa tahun lalu. Abu Omar juga pengagum Allahyarham Yasser Arafat. Benar, Abu Omar menyertai Briged Al-Qassam, sayap Hamas, maka sebab itu Abu Omar jadi sasaran perisik Tuan.

Kerana itu juga, semasa Abu Omar berada di masjid, roket tentera Tuan tanpa belas mengambil nyawa Abu Omar pada 10 Julai. Habis helaian Al-Quran yang dibaca Abu Omar terbakar dalam serangan habis-habisan tentera Tuan.

Tetapi Tuan Perdana Menteri, itu bukan apa-apa kepada kami. Ia hanya ujian. Biar saya tulis di sini dan Tuan baca dengan pantas: Kematian Abu Omar bukan apa-apa kerana saya tahu akan ada penggantinya.

Biar saya kongsi juga di sini, Briged Al-Qassam diakui melatih pejuang-pejuang yang hebat dan meminjam semangat pejuang-pejuang Islam yang lain sebelum ini. Pejuang seperti Abu Omar mencontohi para pejuang Islam zaman Muhammad s.a.w dan Khalifah Al-Rashidin yang berjaya menundukkan Rom dan Parsi.

Mereka juga mencontohi pejuang Islam zaman Salahuddin Al-Ayubbi yang berjaya menakluk Baitulmaqdis dan mencontohi pejuang Sultan Al-Fateh yang berjaya menawan Kota Konstantinopel. Biar saya kongsi juga di sini wahai Tuan, rahsia pejuang Briged Al-Qassam ialah mereka mendapat izin ibu bapa untuk syahid, juga dapat rahmat Imam masjid untuk khatam Al-Quran.

Ingat itu Tuan, Abu Omar tiada, akan muncul - dalam bentuk yang tidak diketahui bagaimana, “pengganti” Abu Omar dan pejuang Briged Al-Qassam lain.


Palestine

Terus Bantu Palestin

Surat kepada Perdana Menteri Israel oleh bapa mangsa dan kembar pejuang Hamas dalam perang di Gaza itu sampai juga ke Malaysia menerusi platform media sosial. Kepada yang membaca dua utusan itu, silap kalau hanya bersimpati, menyapu air mata tetapi sedih hilang selepas sekali sapuan.

Namakan apa sahaja, ada pelbagai bantuan boleh diusahakan untuk membantu. Boikot dengan bijak barangan keluaran dan milik Zionis adalah salah satu daripadanya.

Tetapi lebih penting, desakan masyarakat antarabangsa perlu berterusan, bukan hanya ketika serangan dilancarkan sahaja. Membaca tulisan ini dan mengamalkannya juga adalah salah satu bentuk bantuan kepada Gaza.

Sementara itu, dalam mana-mana peperangan, mangsa pertama adalah kebenaran. Atas cebisan maklumat yang diterima mengenai Gaza ini sekali pun, dapat dirasakan sengsara rakyat Palestin di Gaza yang menjadi mangsa Israel. Buat masa ini, perang yang dilancarkan - dipercayai akan berterusan lagi - memihak kepada Israel.

Keupayaan mereka untuk menang bermula daripada penguasaan mereka terhadap media antarabangsa.

Maka, untuk melawan balik, umat Islam mesti menang dalam medan media.