Pilihan raya di Indonesia dan India; rampasan kuasa tentera di Thailand ; tragedi MH 370 yang ada sedikit sebanyak menggugat rentak hubungan Malaysia dengan China; pergerakan demokrasi Myanmar yang ditandai oleh kejayaannya menjadi tuan rumah sidang kemuncak ASEAN dan beberapa peristiwa lain yang mewarnai corak di negara-negara rantau Asia itu.
Perdana Menteri India, Narendra Modi (kiri) bersalaman dengan Perdana Menteri Pakistan Nawaz Sharif selepas upacara angkat sumpah jawatannya pada 26 Mei. --AFP PHOTO/Prakash SINGH
Era baru India-Pakistan
Daripada begitu banyak perkembangan itu, saya tertarik untuk mengupas mengenai India. Minat untuk membuat kupasan lanjut mengenai India, demokrasi terbesar dunia itu didorong beberapa sebab.
Satunya, India baru sahaja memilih pemimpin baru. Daripada bekas Ketua Menteri Gujarat, Narendra Modi, kini menjadi Perdana Menteri India. Upacara angkat sumpah beliau dihadiri ramai pemimpin dunia, tetapi paling mencuri tumpuan ialah kehadiran Perdana Menteri Pakistan, Nawaz Sharif.
Kehadiran Nawaz menandakan era baru hubungan dengan Pakistan, yang selama ini dianggap seteru kerana beberapa isu termasuk Kashmir, militan dan perlumbaan nuklear. Maka, jika kedua-duanya berbaik, ia petanda positif untuk pertumbuhan India dari segi ekonomi.
Persidangan Meja Bulat Asia Pasifik ke-28
Keduanya, pada minggu ini berlangsung di ibu negara, Persidangan Meja Bulat Asia Pasifik ke-28. Ia berlangsung selama 3 hari sehingga 4 Jun ini. Ucaptama persidangan ini disampaikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.
Malaysia akan menjadi Pengerusi ASEAN pada tahun depan, maka ucapan Najib tidak lari daripada menyentuh mengenai kesediaan negara memikul tanggungjawab itu serta isu-isu yang didepani anggota entiti itu bersama rakan Asia lain khususnya China, India, Jepun dan Korea Selatan.
Kebangkitan India
Begitu banyak isu yang akan disentuh dalam perbincangan di persidangan itu berdasarkan kepada pengisian program anjuran ISIS itu. Tetapi saya sangat tertarik dengan satu topik pada hari ketiga.
Sesi dengan tajuk “The Dynamic of India Rise : National Imperative & International Aspirations” yang akan dipengerusikan oleh Tan Sri Munir Abdul Majid, Pengerusi Bank Muammalat Malaysia. Beliau juga merupakan Felo Pelawat Kanan di LSE IDEAS. Sesi dikupas oleh Dr Manoj Joshi, Felo Ulung, Observor Research Foundation, India dan Pramit pal Chandhuri, Editor Meja Antarabangsa di The Hindustan Times, India serta Dr Ian Hall, Felo Kanan dan Pengarah Pengajian Siswazah, The Australia National University (ANU).
Menariknya sesi ini akan berlangsung sama hari dengan topik yang membincangkan mengenai kemungkinan kebangkitan Jepun, “Is Japan Back?”. Sehari sebelum itu, mengikut agenda program, sidang membincangkan mengenai kuasa baru di rantau Asia.
Memang sudah seperti diterima umum bahawa masa depan dunia berada pada China memandangkan ia merupakan negara paling pesat membangun dan memiliki kepadatan penduduk paling banyak.
Hakikat bahawa Republik Rakyat China mencapai pertumbuhan tertinggi di dunia dan menguasai pelbagai bidang pasaran meletakkannya sebagai bakal kuasa baru dunia yang akan memaksa semua negara lain menyesuaikan diri dengannya.
Kekuatan ekonomi China yang sedang pesat berkembang itu dikukuhkan dengan pengaruh politiknya semakin besar dan imejnya dalam bentuk-bentuk lain seperti penerokaan angkasa lepas. Amerika Syarikat (AS) juga dilihat mempunyai kebimbangan terhadap kebangkitan China ini dan pelbagai usaha dilakukan oleh kuasa besar itu supaya kekuatan negara itu tidak akan menyainginya.
Para penyokong parti Bharatiya Janata (BJP) bersorak di atas pelantikan Narendra Modi sebagai Perdana Menteri India ke-15. -- AFP PHOTO/ PUNIT PARANJPE
Calon pengimbang kuasa
Kalau dahulu, AS dan Barat bimbang dengan kepesatan ekonomi Jepun, tetapi kini tidak lagi apabila negara itu bangkit perlahan disebabkan banyak kali dirundung malang akibat bencana alam yang memusnahkan pertumbuhan ekonominya. Yang dibimbangi AS dan Eropah ialah China.
Dalam menghadapi kebangkitan China, Washington dengan jelas mencari negara-negara lain untuk dijadikan pengimbang. Calonnya ialah Jepun, tetapi kalau ambil kira ekonomi, Jepun bukan calon terbaik. Pertumbuhan ekonomi China amat pesat dan Jepun tidak akan dapat menandinginya.
China yang mempunyai penduduk paling banyak di dunia dan sistem politik berasaskan komunisme di negara itu menjanjikan kestabilan yang jauh lebih baik berbanding Jepun.
Kepesatan India
Justeru, timbul pula tentang kemungkinan India boleh mengisi peranan penting sebagai pengimbang kepada China untuk AS. Pertumbuhan ekonomi India sejak tahun-tahun kebelakangan ini juga mengagumkan walaupun tidak sehebat dan sepesat China. India adalah sebuah negara demokrasi, tidak seperti China.
Sejak mencapai kemerdekaan, India mengamalkan sistem pasaran, walaupun menerima campur tangan kerajaan melalui dasar sosialis Parti Kongres pada pentadbiran awal Jawaharlal Nehru.
Saya ajukan soalan kepada pakar Asia Selatan, Dr Azharuddin Mohammed Dali, yang juga penyelia tesis PhD saya, tentang kemungkinan kelebihan India untuk menyaingi China di rantau Asia dan menjadi negara pengimbang untuk AS. Katanya, dari segi pentadbiran India seperti AS mewarisi sistem British kerana kedua-duanya adalah bekas tanah jajahan Inggeris.
“Paling penting ialah penguasaan bahasa Inggeris oleh rakyat India dan ini memudahkan negara itu menerima pengaruh AS dan Barat secara terbuka. Ini juga mempercepatkan kemasukan India dalam industri teknologi maklumat dan komunikasi (ICT),’’ kata Dr Azharuddin, kini Ketua Jabatan Sejarah, Fakulti Sastera dan Sains Sosial di Universiti Malaya (UM).
Kelebihan bahasa
Walaupun China mempunyai penduduk paling banyak di dunia sekali gus menjadikan Mandarin sebagai bahasa paling banyak digunakan manusia, tetapi ia tidak mampu mencabar kedudukan bahasa Inggeris sebagai bahasa global.
Hakikatnya, bahasa Inggeris - bukannya Mandarin lebih mudah dipelajari oleh orang bukan China. Maka, jika berkomunikasi, India dan dunia Barat lebih mudah mendapat kemesraan berbanding China kerana kelebihan bahasa itu. Dengan bantuan AS dan Eropah, sudah pasti, India mampu jadi kuasa utama mengatasi China.
Pada masa ini, China sememangnya jauh di hadapan berbanding India dari segi pertumbuhan ekonomi.
Itu hakikat, kata Dr Azharuddin. Tetapi tambah beliau, sebagai kuasa besar yang utama , India, negara yang mempunyai budaya lebih terbuka, mempunyai peluang lebih besar dan mudah diterima dunia. India katanya, mampu muncul sebagai kuasa ekonomi lebih mantap dan dapat diterima oleh masyarakat dunia.
Apa yang diperlukan oleh India adalah kestabilan dalam proses demokrasi dan hubungannya dengan negara-negara jiran. Kejayaan untuk damai antara India dan Pakistan merupakan kunci kepada kestabilan ini.