Bagaimanapun, proses untuk meningkatkan minat golongan berkenaan lebih-lebih lagi dengan bahan bacaan berkualiti mengambil masa dan perlu dilakukan secara konsisten.
Exco Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Wanita dan Keluarga Pahang, Datuk Sabariah Saidan berpendapat, komitmen ini perlu bagi mengelak anak muda meluangkan lebih banyak masa dengan aktiviti kurang sihat atau tidak berfaedah.
"Anak-anak muda di luar sana, carilah bahan-bahan, buku yang berkualiti, yang bersandarkan fakta atau menegakkan kebenaran, jangan hanya membaca bahan-bahan yang ada tersedia di media sosial sahaja," katanya.
Menurutnya, kerajaan sentiasa menyokong usaha menerbitkan buku berkaitan sejarah dan perjuangan tokoh terkenal dan travelog, tanpa terkecuali kisah mengenai konflik di negara jiran.
"Sebagai contoh, kita ada buku tulisan Editor Kanan Astro AWANI Dr Azlinariah Abdullah di mana saya melihat ada kesungguhan penulisnya berusaha turun ke lapangan, berulang alik selama lima kali ke tiga wilayah bergolak, Narathiwat, Yala dan Pattani dalam tempoh masa selama 10 tahun demi mencari kebenaran dan akar masalah putaran keganasan di negara sempadan Malaysia itu.
"Dan, ini adalah satu usaha yang baik dalam memastikan bahan bacaan yang diterbitkan berkualiti, paling penting bersandarkan kepada fakta," kata Sabariah.
Beliau sebelum itu menyempurnakan majlis pelancaran buku 'Senandika Selatan Thailand Luka Sembuh Parut Tetap Ada' di pelantar pemantauan menara Kuantan 188, di sini, pada ketinggian 96 meter dari paras laut.
Sementara itu, Azlinariah pula berkata, buku tulisannya diterbitkan tepat pada waktunya apabila isu Selatan Thailand amat diberi perhatian oleh kerajaan Malaysia dan Thailand menerusi siri lawatan pemimpin kedua-dua negara sebelum ini.
Katanya, ia menjadi lebih penting apabila Malaysia diberi peranan menjadi Ketua Fasilitator Dialog Damai di antara kerajaan Thailand dan kumpulan pemisah serta ketika mana negara mengambil alih kepengerusian ASEAN pada tahun 2025.
"Dalam setiap pertemuan pemimpin kedua-dua negara, mereka sentiasa senada bahawa isu Selatan Thailand perlu diberi perhatian, soal keamanan dan perdamaian di tiga wilayah bergolak pula diperhalusi untuk digerak prospek serta kemajuannya.
"Justeru, membaca buku ini adalah salah satu cara untuk semua pihak melihat bahawa mencari akar masalah kepada putaran keganasan yang berpanjangan di Selatan Thailand serta usaha memulangkan Narathiwat, Yala dan Pattani ke pangkuan damai adalah penting bukan sahaja untuk kepesatan ekonomi di selatan, tetapi juga melimpah kesannya kepada negara jiran Malaysia.
"Inilah kebenaran dan kualiti yang diselitkan di dalam buku setebal 108 halaman ini," ujarnya.
Antara lain, buku tersebut bukan sahaja menawarkan rakaman pengalaman wartawan mencari kebenaran isu Selatan Thailand, tetapi juga mengesyorkan formula yang boleh diguna pakai untuk keamanan hakiki di tiga wilayah bergolak sebagaimana model kejayaan yang dicatat di Aceh dan Selatan Filipina.
Buku ini sudah memasuki pasaran sejak bulan lalu dan boleh dibeli dengan harga RM35 senaskhah di Shopee.