Tidak ramai orang yang tahu bahawa Pentas Seni KL atau Kuala Lumpur Performing Arts Centre (KLPAC) tidak lagi ada dana yang cukup untuk terus menampung segala aktiviti keseniannya. Tidak ramai orang yang tahu bahawa sebuah badan seperti KLPAC itupun tidak mampu menarik penajaan daripada syarikat-syarikat korporat.
KLPAC yang digerakkan oleh Joe Hasham dan Faridah Merican serta dibantu oleh rakan-rakan yang setia, gigih menghidupkan panggung di pinggir Kuala Lumpur ini sejak pertengahan 2005.
Ia dihidupkan hasil kerjasama kumpulan teater yang mereka asaskan, The Actor's Studio dengan Yayasan Budi Penyayang dan YTL Corporation. Ia lahir selepas banjir kilat pada 10 Jun 2003 menenggelamkan panggung kecil milik The Actor's Studio yang terletak di perut Dataran Merdeka. Mereka berpindah ke tapak baru dan menghuni sebuah bangunan bekas gudang milik Keretapi Tanah Melayu.
Dalam tempoh tujuh tahun, KLPAC telah mementaskan lebih 400 persembahan teater, tarian, muzik dan sebagainya termasuk 143 hasil karya baru yang dipentaskan pada tahun 2011 saja. Dalam tempoh tujuh tahun, jumlah persembahan KLPAC meningkat sebanyak 285 peratus berbanding pada tahun pertamanya. Malah ada pihak yang berani mengatakan bahawa dalam setahun, hampir 60 peratus persembahan pentas di negara ini dipersembahkan di KLPAC.
Jadi, apakah tidak besar sumbangan KLPAC kepada bidang seni persembahan Malaysia, dan apakah tidak besar juga sumbangannya kepada pembangunan bangsa?
KLPAC ialah sebuah pusat kebudayaan. Ia bukan sebuah kumpulan teater. Oleh itu, keperluan dananya tidak sama. KLPAC memerlukan dana RM3 juta setahun untuk beroperasi dengan separuh daripadanya datang melalui hasil sumbangan penajaan. Operasinya pula sepanjang tahun — tidak seperti kumpulan teater yang bernafas dari sebuah pementasan ke sebuah pementasan yang lain.
Ketika ia bermula tujuh tahun lalu, KLPAC mempunyai 12 penaja tetapi sejak krisis ekonomi dunia pada 2008, tinggal 2 saja. Sejak itu, ia menggerakkan beberapa langkah penjimatan dan berusaha meningkatkan dana. Ia mengurangkan penggunaan elektrik termasuk tidak menyalakan lampu di pejabatnya melainkan malam. Ia tidak lagi menerbitkan produksi besar tetapi memberi tumpuan kepada teater kecil, dan bermacam-macam lagi usaha mereka lakukan untuk mengurangkan belanja.
Orang mungkin bertanya kenapa penaja-penaja itu meninggalkan KLPAC? Bayangkan dana penajaan itu setalam bingka ubi. Bingka ubi itu dipotong jadi bahagian-bahagian kecil dan dikongsi ramai-ramai.
Begitulah halnya dengan dana penajaan daripada syarikat-syarikat korporat yang ada di negara ini. Ada yang disalurkan untuk pendidikan, sukan dan pembangunan masyarakat serta seni dan kebudayaan. Masing-masing ada bahagian mereka sendiri tetapi seni dan kebudayaan mendapat bahagian yang paling kecil.
Malah bukan rahsia lagi bahawa ketika berdepan krisis ekonomi, bidang kebudayaan dan kesenianlah yang duduk di baris depan untuk ditunjukkan pintu keluar disisihkan ke tepi.
KLPAC menganjurkan acara persembahan selama dua malam pada akhir Disember lepas untuk mengutip dana daripada orang ramai — pencinta seni yang selama ini menyokong usaha-usahanya. Persembahan dua malam itu mengumpulkan RM175,000. Pada masa sama, ia membuka mata beberapa syarikat korporat untuk tampil menyambung nyawanya.
Tetapi selepas itu apa?
Sebuah panggung seni seperti KLPAC tidak boleh dibiarkan mati. Kalau suatu hari nanti sebuah panggung seperti KLPAC mati, kita semua akan dikutuk berdosa kerana memilih untuk buta hati. Kalau suatu hari nanti sebuah panggung seperti KLPAC mati, matinya itu salah siapa?