Tahun ini, Anugerah Merdeka meraikan individu dalam lapangan seni persembahan dan kesusasteraan Melayu, ekonomi, pendidikan dan inisiatif untuk memastikan penjagaan kesihatan yang saksama dan berkualiti, serta kewartawanan penyiasatan.
Antara penerimanya adalah tokoh teater tersohor Datuk Faridah Merican, ahli ekonomi ternama Profesor Emeritus Jomo Kwame Sundaram, bekas Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr. Abu Bakar Suleiman dan wartawan penyiasatan Ian Yee Ngan Fui.
Faridah, yang dikenali sebagai ‘Wanita Pertama’ teater Malaysia, berbesar hati atas penghargaan yang diberikan, dan menegaskan anugerah itu sebagai satu pengakuan bahawa teater juga adalah bahagian penting dalam pembentukan sebuah negara bangsa yang maju dan makmur.
Pengasas Actors Studio, Kuala Lumpur Performing Arts Centre (KLPAC), dan Performing Arts Centre of Penang itu turut berharap seni persembahan tempatan dapat berkembang menjadi medan dinamik dan inklusif bagi menyuburkan kreativiti, merayakan inovasi dan menyatukan masyarakat.
“Malaysia bukanlah sebuah negara sempurna dan kita tidak melihat kepada kesempurnaan, tetapi kita mahu negara yang bahagia, di mana rakyatnya menyayangi antara satu sama lain, dan tidak takut untuk berkata tentang satu sama lain.
“Kita tidak akan berjaya jikalau kita takut, kerana ketakutan bagi saya adalah musuh terbesar yang kita semua ada," katanya.
Beliau dinamakan sebagai pemenang bagi kategori Pendidikan dan Komuniti, yang dikongsi bersama Datuk Seri A. Samad Said yang dipilih atas baktinya kepada sastera Melayu merangkumi novel, puisi, esei, drama dan seni persembahan.
Prof. Jomo, yang menerima anugerah Pencapaian Akademik Cemerlang, pula melihat bahawa Malaysia menghadapi cabaran besar ketika ini untuk bergerak lebih jauh ke hadapan, dek kerana faktor dalaman dan luaran.
Sebagai ahli akademik terbilang, pakar ekonomi terkemuka dan penasihat dipercayai oleh pembuat dasar tempatan dan antarabangsa itu menegaskan: "Kita perlu akui bahawa kita ketinggalan dalam beberapa aspek, namun ia dapat dipacu sebaiknya andai seluruh warga bersatu padu dan meleraikan kekusutan.
“Kita hadapi cabaran ini sebab Malaysia bukanlah sebuah negara yang semua rakyatnya sama dan serupa, tetapi kita perlu sedar bahawa kita sebenarnya lebih kuat dengan kepelbagaian dan perbezaan.
“Dunia sekarang kucar-kacir dan kuasa-kuasa besar berperang atas alasan yang remeh dan kita tak sepatutnya terperangkap, sedar dan harus berpendirian teguh serta bersama dengan negara-negara yang mahukan pendamaian dan kerjasama untuk mencapai kemajuan," katanya.
Dr. Abu Bakar, yang berkhidmat sebagai Ketua Pengarah Kesihatan dari 1991 hingga 1999 pula dipilih sebagai penerima anugerah kategori Kesihatan, Sains dan Teknologi atas dedikasi tak berbelah bagi dalam membentuk dasar dan inisiatif untuk memastikan penjagaan kesihatan yang saksama dan berkualiti, khususnya dalam menambah baik akses pesakit kepada perkhidmatan nefrologi di seluruh negara.
Bekas Presiden IHH Healthcare itu berharap Malaysia dapat menyeimbangkan penumpuan kepada kemajuan merawat pesakit dan juga menaikkan taraf kesihatan rakyat keseluruhan, terutamanya dari segi peruntukan dan pelaburan.
Pesan beliau kepada anak muda Malaysia: “Mesti fokus untuk belajar bahasa Melayu, Inggeris, Mandarin, Arab malah pelbagai bahasa, mesti mahu bersaing antara satu sama lain, dan usahalah yang akan menentukan kemajuan kita di masa hadapan - kita boleh buat apa yang orang lain boleh buat.”
Ian Yee Ngan Fui menjadi pemenang termuda malam itu apabila diumum sebagai penerima Anugerah Harapan Merdeka untuk usaha hebat warga Malaysia berusia 40 tahun dan ke bawah, atau organisasi yang bermula kurang daripada 10 tahun.
Pengasas rumah media bebas “The Fourth itu” menerajui kewartawanan penyiasatan dalam kalangan belia, mendedahkan kes-kes sensitif yang membuka mata khalayak dan memanggil masyarakat untuk bersama bertindak melawan ketaksaksamaan sosial melalui dokumentari multimedia dan kempen-kempen awam yang inovatif.
“Jika kita lihat sejak beberapa tahun kebelakangan ini pun sudah semakin banyak para jurnalis muda dan bebas melakukan kerja-kerja hebat yang saya rasa akan memberi kesan limpahan dan ia membantu dalam mempertahankan demokasri dan keadilan sosial di negara ini, dan saya harap trend ini akan terus meningkat.
“Berani kerana benar, dan kita harus berpegang teguh dan kuat pada kebenaran dan prinsip-prinsip kewartawanan yang semakin meluntur di kebanyakan bahagian di dunia hari ini.
“Saya harap kita semua dapat bersama terus memacu negara ke tahap yang lebih tinggi.”
Pemenang lain adalah Profesor Joy Jacqueline Pereira untuk kategori Alam Sekitar atas usaha efektifnya mengemudi antaramuka dasar sains dengan kajian luas terhadap perubahan iklim dan memupuk kerjasama antarabangsa untuk memelihara alam sekitar dan komuniti.
Kathryn Anne Rivai pula dinamakan sebagai pemenang kategori Sumbangan Cemerlang kepada Rakyat Malaysia untuk dedikasinya menambah baik akses pendidikan untuk anak-anak kurang bernasib baik menerusi Etania Schools, menawarkan pendidikan berkualiti dan latihan vokasional yang disesuaikan di Sabah.
Anugerah disampaikan oleh Sultan Perak Sultan Nazrin Shah selaku merupakan Penaung Diraja juga Pengerusi Amanah Anugerah Merdeka, yang berkenan mencemar duli hadir ke majlis diiringi Raja Permaisuri Perak Tuanku Zara Salim di The St. Regis Kuala Lumpur di sini pada Rabu.
Turut hadir menyempurnakan majlis adalah Presiden Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Petronas Tan Sri Tengku Muhammad Taufik, juga Pengerusi Negara dan Naib Presiden Kanan (Huluan) Siti Hurrairah Sulaiman, yang mana kedua-duanya adalah Ahli Lembaga Pemegang Amanah Anugerah Merdeka.
Setiap pemenang kategori Anugerah Merdeka menerima sebuah trofi, sijil pengiktirafan dan hadiah wang tunai, sementara penerima Anugerah Harapan Merdeka pula membawa pulang sijil pengiktirafan dan hadiah wang tunai.
Dengan tujuh pemenang tahun ini, secara keseluruhannya 70 individu dan organisasi telah menerima Anugerah Merdeka sejak 2008.