NAMPAKNYA, yang marah-marah, kecewa, melenting dan berang sejak dua tiga minggu ini ialah Korea Utara. Pentas dunia diwarnai radar perhatian antarabangsa yang disorotkan kepada Pyongyang dan pemimpin generasi ketiga dinasti keluarga Kim _ Kim Jong-un.

Punca marah Pyongyang, tentunya soal nuklear. Marahnya Pyongyang digambarkan media-media antarabangsa sebagai mencetuskan ketegangan bukan kecil di Semenanjung Korea. Malah dalam satu analisis yang lebih serius dan momok, ada yang meramalkan, berang Korea Utara itu mungkin berakhir dengan perang nuklear Asia Timur.

Seingat saya, yang mengikuti rapat perkembangan di Asia Timur, sudah beberapa kali Pyongyang mengugut untuk melancarkan serangan ke atas Korea Selatan dan kepentingan Amerika Syarikat jika sekatan ke atasnya tidak ditarik balik. Sekatan ekonomi di Korea Utara menyebabkan rakyatnya semakin terhimpit, lari ke Korea Selatan dan lebih buruk dilanda kebuluran meruncing.

Tetapi, minggu lalu, Jong-un , yang disangka lebih gemarkan perdamaian dan bukannya konfrontasi, benar-benar marah. Kemarahannya itu ditonjolkan melalui siri kenyataan bahawa kekuatan tenteranya dalam siap-siaga jika Seoul dan Washington menyerang. Sebelum itu sekali pun, Pyongyang secara psikologi mempamerkan kekuatan ketenteraannya dengan melancarkan siri ujian walaupun mendapat kecaman Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, PBB.

Namun retoriknya, sebagaimana pemerhatian sebelum ini, ia bukan kali pertama Korea Utara melenting kerana isu nuklear, lebih khusus ada perkaitan dengan kuasa dunia Amerika Syarikat dan jirannya Korea Selatan. Sejak Perang Dunia Kedua tamat 1945, yang membawa kepada permusuhan ideologi Timur-Barat, Korea Utara dan Korea Selatan tidak pernah ikhlas berbaik-baik dalam hubungan kedua-duanya. Walaupun jarak Seoul, ibu kota Korea Selatan sekarang hanya 100 kilometer atau sejam perjalanan menggunakan kereta kebal ke sempadan Korea Utara, kedua-duanya cukup jauh daripada menghapuskan rasa curiga, diburukkan dengan peristiwa sejarah lampau.

Konfrontasi ketenteraan Pyongyang-Seoul berakhir dengan meletusnya Perang Korea pada 1950-1953 yang mengheret kedua-dua negara terlibat bersama sekutu masing-masing sepanjang Perang Dingin hingga kini. Korea Selatan yang dibentuk pada 15 Ogos 1948 oleh Syngman Rhee mendapat sokongan Amerika Syarikat manakala Korea Utara yang dibentuk pada 9 September 1948, diketuai Kim Il Sung memperoleh sokongan Kesatuan Soviet. Kesatuan Soviet kalah pada 15 Ogos 1945 dan meninggalkan Pyongyang pada penghujung 1948, manakala Amerika Syarikat keluar daripada Korea Selatan pada 1949.

Tidak cukup dengan sejarah panjang dan berbelit-belit perkaitannya, apa yang menggerakkan kemarahan Pyongyang sejak dahulu dan kini, ada hubungan dengan senjata nuklear dan peluru berpandu. Apabila kedua-dua perkara ini disebut, ia tidak boleh lari daripada berlegar soal pembentukan politik dunia hari ini dengan aktornya tidak lain tidak bukan Amerika Syarikat, China dan Rusia selain Jepun. Pembangunan senjata nuklear dan peluru berpandu Pyongyang dan Seoul sebenarnya adalah manifestasi konfrontasi blok komunis-demokrasi akibat Perang Dingin. Penjajahan Jepun ke atas Semenanjung Korea pada 1910 hingga 1945 pula secara langsung membawa Tokyo turut sama berseteru dengan Pyongyang-Seoul sehingga kini.
Sepanjang isu ini berlarutan, keluarga Kim, ketiga-tiganya pernah marah, melenting sehingga sampai untuk gertak ke arah perang.

Tetapi mujurnya, ia dapat dielakkan. Il-sung, pengasas Korea Utara berang semasa dikatakan cuba mengelakkan pemeriksaan Agensi Tenaga Atom Antarabangsa, IAEA di tapak nuklear Yongbyon dan beberapa tapak lain. Sekatan mula dikenakan ke atasnya ketika itu. Beliau gertak untuk lancarkan perang, dan ketika Semenanjung Korea tegang kerana ancaman itu, ia reda semula selepas Il Sung meninggal dunia.

Kepada penggantinya, usaha menggagalkan cita-cita nuklear diusahakan enam negara. Kim Jong-ill, semasa pemerintahannya juga tidak senang dengan layanan berat sebelah Washington terhadap Korea Utara. Lebih buruk, semasa pentadbirannya, China, yang selama ini mendokong Pyongyang atas alasan idealisme yang sama, mula menarik balik bantuan. China yang lebih terbuka dan mahu amalkan reformasi mula menjalinkan hubungan baik dengan Korea Selatan dan Amerika Syarikat. Jong-il juga marah dengan perkembangan ini, lalu, membawa kepada perkembangan ujian peluru berpandu Taepodong-2. Tekanan berhubung ujian peluru berpandu ini tentunya dirasai Korea Selatan, yang bimbang akan menjadi mangsa jika benar-benar berlaku perang nuklear selepas ujian. Tetapi marah Jong-ill juga tidak sampai kepada perang nuklear, cumanya dunia semakin perlu menerima bahawa , ya, Korea Utara ada memiliki senjata nuklear . Itu sahaja, tidak lebih dari itu.

“Marah Korea Utara itu tidak kemana-mana, tiada perang nuklear di Asia Timur. Ya, barangkali benar Pyongyang membangunkan senjata nuklear. Tetapi ancaman demi ancaman untuk perang itu tidak lebih sebagai tawar menawar dengan Amerika Syarikat bagi memperoleh bantuan dan konsesi membangunkan ekonomi Korea Utara. Itulah makna kemarahan pemimpin-pemimpin Korea Utara sebelum ini, tanpa terkecuali merujuk kepada perkembangan terbaru bersabit pemimpin Kim Jong-un,’’ panjang lebar pakar Asia Timur, yang juga Pengarah Eksekutif Institut Eropah (AEI) sekarang, Profesor Madya Dr Md. Nasrudin Md. Akhir, menerangkan kepada saya mengenai isu ini. Beliau kemudiannya berkata, “ Azlina, baca buku tulisan saya, tajuknya “Pertahanan Jepun Ancaman Senjata Nuklear di Asia Timur”, di dalamnya ada kupasan isu nuklear ini dalam konteks sejarah dan kontemporari.’’

Saya kemudiannya segera mendapatkan naskhah itu di perpustakaan Universiti Malaya (UM). Ya, benar, kesimpulannya, apa yang berlegar di fikiran saya tentang isu nuklear, Asia Timur dan persaingan komunis-demokrasi, ada dalam bab 3 di bawah tajuk “Senjata Nuklear dan Peluru Berpandu di Semenanjung Korea” di halaman 101 hingga 135.