Ringkasan AI
- Majlis Keselamatan Negara (NSC) Korea Selatan memutuskan untuk menggantung pakatan ketenteraan 2018 dengan Korea Utara sehingga sikap saling mempercayai dipulihkan.
- Keputusan ini diambil berikutan insiden Korea Utara melancarkan belon berisi sampah ke Korea Selatan, yang mengancam keselamatan dan kesiapsiagaan tentera Korea Selatan.
- Kerajaan Korea Selatan komited untuk melindungi rakyatnya dan akan mengambil semua langkah perlu, termasuk mengemukakan cadangan untuk menggantung keseluruhan Perjanjian Ketenteraan 19 September.
Keputusan ini dibuat berikutan insiden terkini Korea Utara yang melancarkan belon berisi sampah ke Korea Selatan, menurut agensi berita Yonhap.
Mesyuarat NSC, yang dipengerusikan Timbalan Prinsipal Penasihat Keselamatan Negara, Kim Tae Hyo menekankan bahawa tindakan Korea Utara telah mendatangkan bahaya dan ancaman sebenar kepada rakyat Korea Selatan serta memberi kesan negatif terhadap kesiapsiagaan tentera.
"Langkah ini akan membolehkan latihan ketenteraan berhampiran Garisan Sempadan Tentera, yang sebelum ini dihadkan oleh perjanjian, membolehkan tindak balas yang lebih mencukupi dan segera terhadap provokasi Korea Utara.
Kami telah memutuskan untuk mengemukakan cadangan untuk menggantung keseluruhan keberkesanan Perjanjian Ketenteraan 19 September sehingga sikap saling mempercayai antara kedua-dua Korea dipulihkan," kata pejabat presiden.
Beliau berkata kerajaan komited untuk mengambil semua langkah yang perlu untuk melindungi nyawa dan keselamatan rakyatnya.
Sejak Khamis, Korea Utara telah menghantar hampir 1,000 belon berisi sampah ke Selatan, sebagai tindak balas terhadap aktivis Korea Selatan yang menghantar risalah propaganda yang mengutuk rejim Utara.
Walaupun tiada korban manusia dilaporkan, beberapa belon menyebabkan kerosakan harta benda, termasuk cermin depan kenderaan yang pecah.
Perjanjian 2018, yang bertujuan mengurangkan ketegangan di sepanjang sempadan, pada dasarnya tidak berkesan selepas Korea Utara menjalankan latihan tembakan artileri berhampiran pulau-pulau sempadan barat pada Januari.
-- BERNAMA