MALAYSIA dan Korea Selatan atau nama rasminya Republik Korea telah menjalin hubungan diplomatik mulai 23 Februari 1960. Korea Selatan telah membuka Kedutaan Besarnya di Kuala Lumpur pada bulan Mei 1962 dan Malaysia melakukan perkara yang sama pada bulan April 1964.

Jalinan hubungan dua hala ini yang kini melangkaui lebih enam dekad lamanya telah berkembang dengan pesat merentasi pelbagai sektor seperti perdagangan, pelaburan, pelancongan di mana kesemuanya digemblengkan ke arah mencipta peluang-peluang baharu yang menguntungkan kedua-dua negara.

Jambatan Malaysia di Paju

Umum mengetahui bahawa Korea Selatan telah terlibat di dalam satu konflik dalaman yang membinasakan sepanjang tempoh 1950-1953 membabitkan dua negara bersaudara ini iaitu Korea Selatan dan Korea Utara. Turut terlibat adalah pihak sekutu yang menyokong dua negara yang bertelagah itu. Suatu perjanjian gencatan senjata (armistice agreement) telah ditandatangani pada 23 Julai 1953 oleh kedua-dua pihak yang membawa kepada pewujudan zon penampan (demilitarised zone) yang memisahkan kedua-dua negara hingga ke hari ini.

Selepas tamatnya perang, beberapa siri bencana alam berupa banjir telah melanda Korea Selatan yang menyukarkan lagi keadaan terutamanya kepada penduduk setempat tatkala Korea Selatan sedang berusaha untuk membangunkan semula negaranya yang musnah sebelum ini.

Datuk Mohd Zamruni Khalid telah melawat Jambatan Persahabatan Malaysia-Korea Selatan di Paju, baru-baru ini.

Menurut rekod yang dikeluarkan oleh Asian Disaster Reduction Centre (ADRC), sepanjang dekad 1961-1970, enam banjir besar telah direkodkan di seluruh Korea Selatan yang mengorbankan hampir 1,400 nyawa di mana hampir 700,000 penduduk telah terkesan dengan bencana tersebut termasuklah hampir 90,000 yang telah kehilangan kediaman.

Ke gunung sama didaki, ke lurah sama dituruni. Begitulah iltizam Malaysia sebagai sebuah negara yang prihatin cuba membantu negara sahabat yang memerlukan pertolongan meskipun ketika itu Malaysia bukanlah sebuah negara yang kaya raya.

Pada tahun 1966, Kerajaan Malaysia telah menghulurkan bantuan sejumlah US$5,000 bagi maksud pembinaan sebuah jambatan di Paju yang terletak kira-kira 40 kilometer atau sejam perjalanan dengan kereta dari Seoul. Perasmian jambatan tersebut telah disempurnakan pada 19 November 1966 di mana Duta Besar Malaysia yang pertama ke Republik Korea, Datuk Mohd Ismail Mohd Yusoff, telah mewakili Kerajaan Malaysia hadir ke majlis tersebut.

Jambatan Malaysia di Paju yang panjangnya 60 meter dan lebarnya 7.5 meter merupakan satu lambang persahabatan di antara dua negara yang masing-masing sedang bergelut untuk memajukan sosioekonomi masing-masing usai kemelut dalaman yang baru sahaja dihadapi.

Meskipun jambatan tersebut tidaklah segah Jambatan Pulau Pinang, Jambatan Seri Wawasan di Putrajaya mahupun Jambatan Banpo di Seoul namun ia amatlah bermakna sekali dan memberi manfaat yang besar sekali kepada penduduk tempatan ketika itu.

Ia menjadi laluan penghubung yang penting kepada penduduk setempat bagi memastikan kelangsungan aktiviti sosioekonomi berjalan dengan lancar. Jambatan konkrit bertetulang (reinforced concrete) itu merupakan teknologi yang agak maju dan digunakan secara meluas ketika itu.

Berdasarkan satu temu ramah yang dijalankan oleh seorang pempengaruh Korea ke atas penduduk tempatan, seorang daripada yang ditemu ramah itu telah mengimbau kembali kepayahan yang dihadapi di mana beliau terpaksa melompat dari batu ke batu untuk menyeberangi sungai di Paju. Apabila hujan lebat, kanak-kanak di kawasan tersebut terpaksa melupakan hasrat untuk hadir ke sekolah dan aktiviti seharian yang lain juga turut terencat.

Justeru, Jambatan Malaysia itu telah menyumbang kepada aktiviti sosioekonomi yang amat besar kepada penduduk setempat tatkala Korea Selatan bergelut untuk membebaskan diri daripada kemiskinan yang begitu mencengkam ketika itu. Apatah lagi dengan mengambil kira kemusnahan yang berlaku susulan perang saudara yang meletus dekad sebelumnya.

Jambatan Malaysia di Paju yang panjangnya 60 meter dan lebarnya 7.5 meter merupakan satu lambang persahabatan di antara dua negara.

Malaysia akan terus dikenang sebagai negara sahabat yang ikhlas menghulurkan bantuan kepada negara luar meskipun ketika itu Malaysia bukanlah sebuah negara yang kaya. Sementelahan pula, Malaysia juga baru sahaja ditubuhkan melalui gabungan dengan Sabah dan Sarawak tiga tahun sebelumnya dan di peringkat domestik, Malaysia sedang berhadapan dengan kemelut darurat dan ancaman daripada negara jiran yang tidak menyokong pembentukan Malaysia sebagai sebuah negara berdaulat.

Bagai isi dengan kuku, begitulah juga hubungan Malaysia dan Korea Selatan ketika itu dan jalinan hubungan tersebut terus berkembang sehingga sekarang. Pada ketika ini, kita dapat melihat bagaimana Korea Selatan banyak mencorakkan pembangunan infrastruktur di Malaysia dengan memanfaatkan kecanggihan teknologi yang dimilikinya. Jambatan Pulau Pinang, Menara 2 KLCC serta yang terbaharu Menara Merdeka 118 merupakan perkongsian kepakaran oleh syarikat-syarikat gergasi Korea Selatan yang telah mewarnai landskap pencakar langit serta pembangunan infrastruktur awam di Malaysia.

Sekilas pandang, keprihatinan yang ditonjolkan oleh Malaysia ketika itu bukanlah sesuatu yang dibuat-buat kerana sesungguhnya ia merupakan cerminan dasar luar negeri Malaysia yang pragmatik yang ditunjangi beberapa prinsip asas yang kekal berzaman dari merdeka sehinggalah kini. Semangat berbaik-baik dengan semua negara dan memilih jalan tidak bermusuhan menjadi penyebab Kerajaan Malaysia memutuskan untuk membantu Korea Selatan ketika itu.   

Lawatan Duta Besar Malaysia ke Jambatan Paju

Pada 14 Ogos 2024 yang lalu, Datuk Mohd Zamruni Khalid telah melawat Paju bagi melihat sendiri jambatan bersejarah yang menjadi lambang persahabatan bagi kedua-dua negara. Jambatan Malaysia di Paju telah diwartakan sebagai sebahagian daripada warisan budaya Korea. Bukan itu sahaja, malah persimpangan jalan bersebelahan dengan jambatan tersebut juga dinamakan sebagai Persimpangan Jambatan Malaysia oleh pihak berkuasa tempatan.

Sejurus tiba di jambatan tersebut, Mohd Zamruni telah disambut mesra oleh wakil daripada pihak berkuasa tempatan Paju serta penduduk tempatan. Kesempatan yang terluang itu telah digunakan untuk beramah mesra dengan wakil-wakil yang hadir di samping bertanya khabar.

Satu sesi temucramah juga telah diadakan dengan sebuah stesen televisyen tempatan (Arirang TV) di atas jambatan tersebut sebelum ia disambung di Perpustakaan Gwangtan, sebuah perpustakaan awam di Paju.

Di antara perkara yang dibangkitkan di dalam temucramah tersebut adalah sejarah pembinaan jambatan tersebut, bentuk kerjasama yang boleh dijalinkan pada masa hadapan, dasar hubungan luar Malaysia dan sebagainya.   

Melangkah ke hadapan, jalinan persahabatan di antara kedua-dua negara ini diharap akan akan terus subur berkembang di mana limpah kurnianya kelak pasti dapat dinikmati oleh segenap lapisan masyarakat dan generasi akan datang.



Tahukah Anda?

• Jumlah penduduk Paju adalah sekitar 510,000
• Keluasan Paju pula adalah sekitar 673 kilometer persegi
• Paju merupakan pusat pengeluaran LCD diplay terbesar di dunia
• Paju merupakan bandar yang berkedudukan strategik kerana ia bersempadan dengan Korea Utara di mana Sungai Imjingang menjadi sempadan pemisah di antara kedua-dua buah negara


* Artikel ini ditulis oleh Kedutaan Besar Malaysia di Seoul.
** Kenyataan di dalam artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan sidang pengarang Astro AWANI.