Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang menggesa rakyat Malaysia agar mencari titik persamaan di antara kaum bagi mewujudkan perpaduan dalam masyarakat majmuk.

Beliau berkata demikian sempena Hari Kemerdekaan dalam ucapan khas beliau dalam program Wacana Merdeka di Universiti Selangor, Shah Alam pada Sabtu.

"Masalah masyarakat majmuk tidak dapat diselesai kerana kita masih menerima teori-teori penjajah dalam penyelesaian masalah," katanya di hadapan kira-kira 100 hadirin.

Katanya semua kaum perlu dilayan dengan adil serta masyarakat madani Islam perlu diterapkan.

Tegas Abdul Hadi, setiap kaum mempunyai kelebihan masing-masing dan masyarakat harus saling menghormati dalam usaha mencari kebaikan.

Selain itu, katanya perjuangan kemerdekaan bukan bermula pada tahun 1946 tetapi sejak kedatangan Islam lagi yang meliputi seluruh kepulauan Melayu.

"Di sini peranan perjuangan Islam amat penting dalam menuntut kemerdekaan, ia melibatkan semua tempat dan kedudukan," kata beliau.

Sementara itu, Abdul Hadi ketika ditemui selepas program tersebut enggan mengulas tentang isu perlantikan menteri besar Selangor.

Bagaimanapun, pegawainya Mohd Adran Musa memaklumkan bahawa Abdul Hadi akan mengadakan satu mesyuarat dalam masa terdekat yang turut melibatkan Majlis Syura.

"Beliau akan bermesyuarat dalam masa terdekat... dan pejabat presiden akan maklumkannya nanti," katanya kepada wartawan.

Wacana Kemerdekaan- Satu penilaian semula dari Perspekstif Melayu Islam itu dihadiri oleh empat orang anggota panel dan dimoderatkan oleh Prof Dr Badlisham Mohd Nasir.

Ahli panel tersebut ialah Prof Datuk Dr Mohamad Abu Bakar dari UM, Prof Dr Kamarulzaman Yusoff dari UTM, bekas MB Selangor Tan Sri Muhammad Muhd Taib dan Mohd Fadli Ghani.