Jika penjaga gol Mexico, Guillermo Ochoa dipuji semasa menyelamatkan enam percubaan berbahaya Brazil di Piala Dunia FIFA 2014, Tim Howard mengatasi pencapaian itu dengan menyelamatkan 16 percubaan dalam satu perlawanan.

Howard terus menjadi sensasi media sosial dan perhatian utama selepas aksi hebat menentang Belgium pada Selasa, dengan 1.8 juta 'mention' mengenainya di Twitter.

Apa yang dibuat Howard juga merupakan rekod yang terbaik bagi penjaga gol di Piala Dunia sejak 1966.

Paling mencuri perhatian di media sosial, Setiausaha Pertahanan Amerika Syarikat, Chuck Hagel menghubungi Howard untuk berterima kasih atas ketangkasannya menjaga kubu Amerika.


Hagel turut menyatakan dengan tunjuk ajar yang betul, Howard mampu menjadi seorang Setiausaha Pertahanan yang sebenar.

Dengan hash flag #ThingsTimHowardCouldSave menjadi trending, mereka berjenaka sambil membayangkan kehebatan penjaga gol Everton itu dapat menyelamatkan Titanic, spesis dinosaur, dan juga watak dalam filem Saving Private Ryan, arahan Steven Spielberg, Private Ryan.


Mereka turut berjenaka Howard mampu menyelamatkan bekas pengurus Everton daripada dipecat Manchester United musim lalu.


Malangnya, Amerika Syarikat tewas 2-1 kepada Belgium dalam perlawanan pusingan kedua yang berlangsung sehingga masa tambahan.