Enjin carian google.com.my sering menjadi tumpuan pengguna internet Malaysia bagi mendapatkan maklumat terkini & informasi pantas. Berikut adalah ringkasan 10 carian paling tinggi oleh pengguna Malaysia yang disediakan Google Zeitgeist sepanjang Jun 2014.
#1 – Piala Dunia 2014
Carian paling tinggi bulan lalu memperlihatkan pengguna internet menggunakan enjin carian Google bagi mendapatkan maklumat tentang perlawanan, keputusan serta perkembangan terkini setiap skuad yang bertanding.
Dalam masa yang sama, Google turut menyediakan satu laman khas Google Trends Piala Dunia bagi pengguna melihat & memahami trend maklumat yang ingin diketahui oleh peminat bola sepak di seluruh dunia.
#2 - Nisfu Syaaban
Malam Nisfu Syaaban adalah malam yang penuh berkat dan rahmat selepas malam Lailatul Qadar. Oleh yang demikian, pengguna telah menggunakan carian Google bagi mendapatkan maklumat tentang malam penuh rahmat itu. ‘Nisf‘ yang bermaksud ‘separuh’ adalah peristiwa hari ke-15 dalam bulan Syaaban tahun Hijrah.
#3 – Ander Herrera
Ander Herrera Agüera, 24 tahun adalah pemain kelahiran Sepanyol terbaru yang dibeli oleh kelab Manchester United (MUFC) bagi membaiki kelonggaran jentera tengah skuad itu.
Herrera yang sebelum ini dari kelab Athletic Bilbao menyertai MUFC minggu lalu dengan yuran perpindahan berjumlah £29juta.
#4 – Ramadan
Bersedia untuk menyambut bulan Ramadan yang mulia, pengguna internet menggunakan carian google bagi mendapatkan maklumat tentang bulan ke-9 dalam kalendar Islam.
Bersempena Ramadan tahun ini, Google turut melancarkan ‘Ramadan Hub’ untuk pengguna Islam. Satu ‘landing page’ khas dibangunkan bagi memudahkan pengguna melayarinya melalui www.google.com/ramadan
#5 – Amar Baharin
Gosip bertiup kencang tentang pelakon ini apabila dikatakan sedang menjalinkan hubungan intim dengan 2 orang aktres popular. Nama Amar Baharin mencuri tumpuan pengguna internet tempatan apabila mereka cuba mencari info tentang pelakon yang sedang meningkat popularitinya ini.
#6 – Suarez
Piala Dunia 2014 menyaksikan insiden mengigit pemain berlaku sekali lagi. Kali ini di pentas saingan dunia, penyerang Uruguay, Luis Suarez bertindak mengigit bahu pemain pertahanan Itali Giorgio Chiellini.
Tidak cukup dengan hukuman gantung selama empat bulan daripada sebarang aktiviti bola sepak dan sembilan perlawanan oleh FIFA, Suarez turut dimalukan dengan ‘troll’ oleh pengguna media sosial dunia.
#7 – Hari Bapa
Pada 14 Jun, pengguna internet menggunakan carian Google bagi mendapatkan informasi untuk menyambut & meraikan hari bapa.
#8 - Abang Long Fadil
Filem aksi & komedi lakonan Zizan Razak ini telah mengumpul jualan tiket melebihi RM4.61 juta selepas 29 hari tayangannya.
Filem terbitan Skop Production Sdn. Bhd. ini telah ditayangkan di 81 panggung wayang seluruh Malaysia.
#9 - Transformers 4
Mungkin kerana terlalu teruja untuk mengetahui apa sebenarnya kisah disebalik sekuel terbaru Transformers: Age of Extinction, pengguna Google mula menggunakan enjin carian itu bagi mendapatkan maklumat dan juga menonton sedutan filem itu di Youtube.
Kata kunci ‘Transformers 4’ turut mempamerkan kelainan bagi sekual filem kali ini termasuk kehadiran watak-watak ‘Dino Bots’ yang menyertai Autobots bagi melawan musuh.
#10 – Neymar
Penyerang berbisa dari Brazil, Neymar da Silva Santos Júnior sehingga kini telah menghasilkan 4 gol dalam saingan Piala Dunia 2014. Baru berusia 22 tahun, pemain yang turut mewakili kelab FC Barcelona ini telah berjaya mencuri tumpuan dunia dengan gaya permainan bersahaja dengan skil ‘samba’nya.