Kecoh seketika garis masa Astro AWANI hari ini.

Namun apa yang belum diketahui oleh ramai penonton mahupun pembaca di Astro AWANI adalah kewujudan satu unit iaitu Unit Media Sosial di Astro AWANI sejak Julai tahun lalu.

Skop tugas empat wartawan media sosial bersama-sama seorang pengurus media sosial adalah untuk memantau garis masa di media sosial pada setiap waktu dan menghasilkan artikel yang adakalanya dilihat berbeza daripada berita biasa yang disiarkan.

Tanpa mengira sama ada cerita itu penting ataupun yang dianggap remeh, sesebuah cerita tersebut ada pembacanya yang tersendiri dan jelas dibuktikan dalam Google Analytics.

Selain daripada itu, unit ini turut merancang aktiviti khas yang memerlukan penyertaan netizen di media sosial.

Unit ini juga bertanggungjawab untuk mengisi ruang Kini Trending di portal ini dan turut disiarkan di saluran Astro AWANI dalam Buletin AWANI 7.45.

Ini segmen Kini Trending yang terdapat di portal berita Astro AWANI

Masih ingat lagi dengan Facebook Live yang disiarkan secara langsung tanpa memerlukan penapisan terus ke Facebook anda?

Beberapa berita penting yang berlaku di tanah air turut dipersembahkan menggunakan platform Facebook Live, aplikasi Periscope dan sembang Twitter #AWANIChat.

Antara yang diingati adalah sidang media Tan Sri Muhyiddin Yassin, pelancaran Deklarasi Rakyat dan #AWANIChat bersama Maya Karin sempena Hari Bumi.

Selain daripada itu, unit ini juga bertanggungjawab menambah baik sesebuah kandungan berita yang dihasilkan oleh wartawan dalam pelbagai format antaranya tinjauan pandangan, undian online dan crowdsourcing sewaktu berlakunya berita tergempar.

Setakat ini pelbagai hashtag telah digerakkan oleh unit ini antaranya #2Kerja, #KamiSokongKamil, #OrangKL, #CeritaBanjir, #SayaMaisarah, #CukupSetakatSamson dan #ApaBeliaMahu.


Terdahulu, penyanyi lagu Crush yang kini sedang meniti tangga carta Billboard, Yuna awal hari ini telah menegur satu artikel yang disiarkan di portal Astro AWANI malam tadi.

Teguran itu yang disampaikan menerusi akaun Twitter miliknya @yunamusic sehingga kini telah menerima 1639 ulangan tweet (RT) dan 898 like.

Artikel tersebut yang bertajuk "Yuna 'sekolahkan' remaja yang tegur pakaiannya di Instagram" mengandungi paparan skrin komen penyanyi itu yang menegur sekorang remaja perempuan di akaun Instagram milik remaja tersebut.

Ibarat sebuah skrip filem ala Inception, yang mana jalan ceritanya adalah seperti berikut:

Yuna sekolahkan Astro AWANI selepas sekolahkan seorang budak sekolah - SekolahCeption

Pelbagai akaun troll turut sama mengambil bahagian bagi menyokong teguran yang dibuat oleh penyanyi yang mula popular dengan lagu Dan Sebenarnya itu.



Kami di Unit Media Sosial amat berterima kasih dengan pandangan tersebut, namun seperti yang telah diterangkan di awal artikel ini, kami akan terus memantau apa sahaja cerita menarik, baik yang 'penting' mahupun yang mungkin dianggap 'remeh', untuk pembaca dan penonton Astro AWANI.