“Banyak perkara tidak kena dengan organisasi yang mewakili ramai ratu cantik Malaysia dan juga peserta yang bakal membawa nama Malaysia ini adakalanya tidak bersedia.”

Ini antara luahan Sanjna Suri ketika ditanya apa masalah sebenar yang menyelubungi prestasi ratu-ratu cantik dari Malaysia.

Sanjna Suri merupakan Miss Supranational Malaysia 2018 yang bakal membawa nama negara ke pentas Miss Supranational 2018 yang bakal dianjurkan di Krynica-Zdrój, Poland pada Disember depan.

BACA: Mengapa ratu cantik Malaysia susah nak menang?

Persoalan ini dibangkitkan bukan berniat menuding jari kepada mana-mana organisasi.

Namun, apa yang terjadi hari ini seolah-olah Malaysia hantar perwakilan hanya sekadar melepaskan batuk di tangga.

Bayangkan Malaysia merupakan antara negara paling konsisten menghantar perwakilan ke setiap pertandingan ratu cantik di seluruh dunia namun belum pernah berjaya membawa pulang apa jua gelaran untuk dibanggakan.


Dalam temu bualnya bersama Rupawan AWANI baru-baru ini, Sanjna turut menzahirkan kekesalan beliau kerana wakil Malaysia sering dipandang sebelah mata oleh delegasi-delegasi antarabangsa.

“Antara masalah lain adalah pihak organisasi tidak menyediakan latihan secukupnya buat para peserta disebabkan pelbagai faktor antaranya tiada pelatih atau mentor bersesuaian yang dipilih untuk tujuan ini,” tambahnya.

“Selain itu, Sanjna menegaskan sekiranya pihak pengurusan dan organisasi benar-benar mensasarkan mahkota yang dipertandingkan, pastinya Malaysia sudah mampu meraih kejayaan dalam pertandingan-pertandingan sebelum ini.



Saksikan temu bual penuh bersama Sanjna Suri menerusi rancangan 'Rupawan AWANI' yang bakal disiarkan minggu hadapan pada Sabtu (29 September 2018) jam 8.30 malam hanya di saluran 501, Astro Awani.