BAKU, Azerbaijan: Malaysia memimpin usaha membangunkan kerangka karbon menyeluruh di peringkat ASEAN, dengan inisiatif yang dimulakan oleh Kumpulan Kerja Pasaran Karbon di bawah Majlis Penasihat Perniagaan ASEAN Malaysia (ASEAN-BAC-MY).

Inisiatif ini akan mengetuai perbincangan mengenai 'ASEAN Common Carbon Framework' (ACCF), dengan kerjasama erat beberapa pihak berkepentingan antara Malaysia, Indonesia, Thailand dan Singapura.

"Kerangka ini adalah pemangkin kepada kerjasama karbon yang lebih luas yang akan mempercepatkan pelaburan rendah karbon di ASEAN,” kata Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Nik Nazmi Nik Ahmad di Persidangan Perubahan Iklim ke 29 (COP29) di sini.

Nik Nazmi berharap inisiatif ACCF akan membuka peluang kepada ekonomi ASEAN untuk bekerjasama dalam mencipta permintaan terhadap kredit karbon di ASEAN.

Katanya, inisiatif ini juga akan membolehkan setiap negara anggota ASEAN dapat mencapai sasaran karbon yang berdaya saing dan dapat mewujudkan pasaran karbon yang mampan.

“Dengan ini juga  kita akan mewujudkan pendekatan bersatu yang akan dapat membina pasaran karbon serantau yang bersepadu, cekap dan boleh dipercayai," katanya.

Kerjasama ACCF akan melibatkan Persatuan Pasaran Karbon Malaysia (MCMA), ASEAN Alliance on Carbon Market (AACM), Persatuan Perdagangan Karbon Indonesia (IDCTA), Thailand Carbon Market Club (TCMC), dan Persatuan Kewangan Mampan Singapura (SSFA).