Mungkin sesiapa yang pernah ke Bukit Fraser tertanya-tanya apakah aktiviti yang boleh dilakukan di sana. Namun realitinya, pelbagai khazanah alam tersembunyi di kawasan pelancongan pergunungan yang digelar 'The Little England' ini.

Perjalanan menuju ke Bukit Fraser melalui Kuala Kubu Bharu disajikan dengan keindahan alam semula jadi serta kepelbagaian flora dan fauna tetapi sedikit mencabar untuk mereka yang 'mabuk' perjalanan kerana jalan yang beralun selain permukaan yang tidak rata.

Tidak ramai yang tahu, Bukit Fraser ini terkenal dengan pelbagai spesies burung. Sebanyak 205 daripada 260 burung di sini merupakan spesies residen dan lebih kurang 40 spesies merupakan burung hijrah yang majoritinya dari negara-negara Asia Utara.

Peserta mencerap burung di Bukit Fraser

Kedudukan Malaysia di tengah laluan penghijrahan burung Australia telah menarik lebih kurang 120 spesies yang menggunakan laluan penerbangan atau 'flyway' Asia Timur-Australia, disebabkan faktor perubahan makanan, habitat dan cuaca.

Jadi tidak hairanlah, Bukit Fraser terkenal buat mereka yang meminati aktiviti mencerap burung sehingga ada yang sanggup berhabis ratusan ribu ringgit untuk memiliki peralatan hobi mereka demi sekeping gambar.

Kerajaan negeri melalui Tourism Pahang baru-baru ini menganjurkan pertandingan Mengenal Burung Antarabangsa atau Fraser's Hill International Bird Race 2023 kali ke-34 yang bermula sejak 1988.

Antara peserta yang menyertai Fraser's Hill International Bird Race 2023

Menariknya, pada tahun ini, penyertaan peserta antarabangsa mencatat peningkatan sehingga melebihi peserta tempatan iaitu 32 berbanding 26 kumpulan dari Malaysia.

Penyertaan kali ini termasuk dari Kemboja, China, India, Filipina, Taiwan, Sri Lanka, Singapura dan Vietnam selain penyertaan individu dari Libya, Jordan, Yemen serta Libya.

Noor Adibah Ismail ketika mencerap burung di Fraser's Hill International Bird Race 2023

Kumpulan The Swallows Girl dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) terdiri daripada Noor Adibah Ismail, 27 tahun, Ummi Nor Syafiqah, 27 tahun, dan Noor Fatihah Najihah Arazmi, 26 tahun, dinobat juara bagi kategori novis pertandingan itu.

Meskipun tengah bertanding, mereka langsung tidak lokek untuk berkongsi ilmu dan berkongsi petua untuk mencari selain mengenal spesies burung dengan betul.

Noor Adibah berkata, ini merupakan kali kedua mereka menyertai pertandingan mengenal burung di Bukit Fraser dan langsung tidak menyangka kumpulannya mampu mencatat kemenangan kerana mendapat persaingan hebat daripada peserta luar negara.

Mencerap lebih 40 burung dalam pertandingan itu, pelajar Sarjana Zoologi itu berkata, dia memerlukan kesabaran tinggi serta mata yang tajam untuk mengenal spesies burung.

Antara peserta dari UKM yang menyertai Fraser's Hill International Bird Race 2023

Dalam pada itu, Exco Perpaduan, Pelancongan dan Kebudayaan Negeri Pahang, Leong Yu Man berkata, 'Birding Tourism' merupakan salah satu segmen pasaran pelancongan yang berkembang begitu pesat dan Malaysia menduduki tangga keempat di Asia (kedudukan ke-23 di dunia) sebagai destinasi 'birding' yang terkenal selepas China, India dan Thailand.

Jelasnya, kedatangan pelancong di Pahang meningkat kepada 10.2 juta pada tahun 2022 berbanding tahun sebelumnya iaitu 2.2 juta (berikutan pandemik COVID-19).

Fraser's Hill International Bird Race 2023 merupakan anjuran kerajaan negeri Pahang melalui Tourism Pahang

"Pada tahun lalu, Bukit Fraser menerima seramai 49,139 pelancong antarabangsa dan domestik. Pelancong luar terdiri dari Singapura, Indonesia, China, Jepun dan United Kingdom (UK).

"Kerajaan negeri komited untuk merealisasikan kedatangan lebih ramai pelancong ke Bukit Fraser dan menyeru agar komuniti di sini sentiasa bersikap positif untuk meningkatkan kualiti alam di dalam semua aspek antaranya hospitaliti, kebersihan dan perkhidmatan awam," ujarnya.

Bukan sahaja destinasi bagi penggemar burung, Bukit Fraser juga terkenal untuk mereka yang menggemari aktiviti lasak 'trekking' dan 'hiking' dengan menawarkan lapan laluan denai mengikut tahap kemampuan masing-masing seperti Maxwell, Bishop, Rompin, Mager, Abu Suradi, Hemmant, Kindersley dan Pine Tree.

Selain aktiviti yang membabitkan keindahan semula jadi, Bukit Fraser juga menawarkan kemudahan seperti padang golf, aktiviti memanah, menunggang kuda serta bersiar-siar menaiki paddle boat di tasik Allan's Water.