KUALA LUMPUR: Peningkatan penggunaan media sosial dan daya tarikannya hingga menyebabkan ketagihan telah dikaitkan dengan penurunan tabiat membaca dalam kalangan individu dewasa.

Ia sekali gus menimbulkan kebimbangan terhadap kesan ke atas kemahiran kognitif dan kesejahteraan mental.

Kajian dan pandangan pakar baru-baru ini menunjukkan satu trend membimbangkan - semakin kurang orang cenderung dalam pembacaan mendalam, dengan ramai beralih kepada kandungan pendek dan ringkasan buku.

Menerusi satu tinjauan oleh Reading Agency, hanya separuh daripada orang dewasa di United Kingdom membaca secara kerap untuk keseronokan, turun daripada 58 peratus pada 2015.

Sementara itu, 35 peratus responden mengakui bahawa mereka pernah menjadi pembaca tetapi kini telah berhenti, sering terganggu oleh tarikan untuk melayari platform media sosial seperti TikTok, Instagram dan X (sebelum ini dikenali sebagai Twitter).

Memetik rencana yang diterbitkan Financial Times, pengkritik dan penulis Mia Levitin melontarkan pandangannya mengenai cabaran ini.

Beliau menggambarkan kesusasteraan sebagai ‘internet pertama’ menawarkan pembaca perjalanan tanpa gangguan melalui idea dan rujukan.

“Kelebihannya adalah anda boleh ‘tersesat’ dalam internet analog ini tanpa kandungan viral yang silih berganti untuk menarik perhatian anda,” katanya.

Levitin juga menyeru individu untuk mengembalikan tabiat membaca dengan menggantikan telefon di tepi katil dengan buku.

Menambah kepada perbincangan, Oxford University Press baru-baru ini mengumumkan ‘brain rot’ (reput otak) sebagai Perkataan Tahun 2024 (Oxford Word of the Year 2024).

Istilah tersebut yang pertama kali muncul dalam karya klasik ‘Walden’ tulisan Henry David Thoreau pada tahun 1854, telah kembali menjadi popular -  ironinya ia dimasyhurkan kembali oleh pencipta kandungan TikTok.

Walaupun berdepan cabaran, beberapa kajian terus menunjukkan manfaat dan impak positif di sebalik tabiat membaca - seperti tahap kesejahteraan mental yang lebih baik, tidur yang lebih lena, tumpuan yang meningkat dan makin kreatif.

Sebagai contoh, hanya enam minit membaca telah terbukti mengurangkan tahap tekanan sebanyak dua pertiga.

Ahli Akademik dan Sarjana, Sir Jonathan Bate, melahirkan kebimbangan terhadap kesukaran pelajar sastera menyelesaikan teks panjang.

“40 tahun lalu, anda boleh meminta pelajar membaca tiga novel dalam seminggu. Kini, ramai yang bergelut untuk menyelesaikan untuk baca satu novel dalam tempoh tiga minggu,” katanya dalam satu temu bual dengan BBC Radio 4.

Malah, pakar telah mengaitkan perubahan ini dengan kepuasan dopamine yang mudah diperoleh melalui media sosial, yang mencuri tumpuan pengguna.

Pakar neurosains, Dr Maryanne Wolf menyatakan bahawa walaupun otak manusia sememangnya bersedia untuk mencerap bahasa, namun membaca adalah satu kemahiran yang perlu dipupuk dan diamalkan.

“Tetapi keliutan otak (brain plasticity) berfungsi kedua-dua cara: gunakannya atau kehilangannya, dan kita kini semakin memilih untuk kehilangannya,” katanya.

Ahli biblioterapi, Ella Berthoud yang juga pengarang bersama 'The Novel Cure: An A to Z of Literary Remedies', berkata beliau melihat permintaan yang semakin meningkat untuk panduan menghidupkan semula tabiat membaca.

Beliau mencadangkan langkah praktikal seperti bermula dengan cerpen atau novel, menggunakan buku audio dan menyimpan jurnal membaca untuk membina konsistensi.

Sementara itu, buku bukan fiksyen kelihatan menghadapi penurunan yang lebih ketara, dengan jualannya merosot dengan ketara tahun ke tahun.

Penganalisis percaya ini disebabkan oleh peningkatan aplikasi seperti Blinkist dan Headway, yang menawarkan versi ringkasan buku.

Namun, pakar memberi amaran bahawa ringkasan seperti itu gagal meniru tahap fokus dan pemikiran kritikal yang dibangunkan melalui pembacaan secara tradisional.

Sehubungan itu, Levitin menekankan bahawa pembacaan bukan sekadar soal mendapatkan maklumat tetapi tentang memahami, berfikir secara kritikal dan menyelami idea yang kompleks.

“Hanya satu jam membaca setiap hari mampu menyelesaikan bacaan kepada hampir 50 buah buku - satu langkah ke arah menjadi pembaca elit dalam era digital,” katanya.