KUALA LUMPUR : Kementerian Perpaduan Negara (KPN) menerusi Perpustakaan Negara Malaysia (PNM) menganjurkan Program Sanggar Puisi Perpaduan 2024: Perpaduan Dirai, Bahasa Disantuni yang memfokuskan kepada penglibatan orang awam yang terdiri daripada dewasa atau remaja bagi mengetengahkan bakat mereka dalam bidang penulisan novel yang bertemakan perpaduan dan hubungan kaum.

Program yang merupakan kesinambungan kepada program yang dilaksanakan tahun lepas itu merupakan kerjasama dengan Dewan Bahasa dan Pustaka, serta Bahagian Sukan, Kokurikulum dan Kesenian, Kementerian Pendidikan Malaysia.

Menurut Pengarah Perkhidmatan Rujukan dan Maklumat PNM, Katrun Nada Hashim, program ini bertujuan untuk menggalakkan golongan dewasa dan remaja mencipta karya penulisan mereka dan sebagai satu usaha menambahkan hasil penerbitan penulisan seni kreatif khususnya puisi yang memfokuskan kepada unsur-unsur perpaduan dalam kalangan rakyat Malaysia.

“Objektif utama penganjuran Sanggar Puisi Perpaduan 2024 ini adalah untuk menyemarak dan membugarkan budaya membaca menerusi wahana sastera dan budaya.

“Genre puisi dipilih kerana puisi merupakan wadah bagi pembentukan identiti, budaya dan jati diri bagi sesuatu bangsa.

“Selain itu, sebagai suatu platform untuk membangkitkan minat dan cinta terhadap puisi, serta memupuk benih perpaduan melalui keindahan bahasa dan sastera dalam kalangan rakyat Malaysia yang berbilang bangsa, agama dan budaya,” katanya dalam AWANI Pagi pada Selasa.


AWANI Pagi: Sanggar Puisi Perpaduan 2024 | Perpaduan Dirai, Bahasa Disantuni?

Jelasnya lagi, PNM akan terus komited dalam usaha memperkukuhkan budaya membaca di Malaysia melalui pelbagai inisiatif dan kerjasama strategik dengan pelbagai pihak.

“Kami percaya bahawa budaya membaca yang kukuh adalah asas penting untuk membentuk masyarakat yang berilmu dan berdaya saing sesuai dengan slogan ‘Bangsa Membaca, Bangsa Berjaya’.

“Kami berharap melalui usaha yang dilaksanakan ini menerusi penganjuran Program Sanggar Puisi Perpaduan 2024: Perpaduan Dirai, Bahasa Disantuni ini menunjukkan kesungguhan serta komitmen untuk memartabatkan seni puisi sebagai warisan kebudayaan dan kesenian yang mengikat kesatuan rakyat Malaysia yang terdiri daripada pelbagai kaum, adat dan budaya kepada satu tahap yang lebih tinggi,” ujarnya.

Program Sanggar Puisi Perpaduan 2024 dirasmikan Menteri Perpaduan, Datuk Aaron Ago Dagang dengan mensasarkan seramai 500 orang yang hadir memeriahkan program secara bersemuka di pusat bandar dan juga dalam talian menerusi PNM TV Channel.