Menteri Perpaduan Negara, Datuk Aaron Ago Dagang dalam satu kenyataan berkata, fokus utama KPN untuk mewujudkan platform dan tapak integrasi yang dapat meningkatkan interaksi sosial antara rakyat berbilang bangsa di negara ini.
"Tahun ini, saya ingin juga membawa kita semua untuk menghayati dan memperkukuhkan satu konsep yang sangat penting dalam memastikan kesinambungan kestabilan negara, iaitu konsep negara bangsa.
"Negara Bangsa adalah lebih daripada sekadar istilah. Ia merujuk kepada pembentukan satu masyarakat yang bersatu padu, menghormati perbezaan, dan berkongsi identiti sebagai rakyat Malaysia. Negara Bangsa tidak bermaksud menafikan kepelbagaian budaya, agama, atau adat resam kita.
"Sebaliknya, ia adalah satu usaha untuk menyatukan semua perbezaan ini di bawah satu payung besar identiti nasional," katanya.
Tambah beliau, sepanjang tahun 2024, KPN melalui jabatan dan agensi di bawahnya telah berjaya melaksanakan sebanyak 730 program merangkumi 300 program berimpak tinggi berteraskan kluster semarak kenegaraan, perpaduan dan komuniti rahmah.
Selain itu, KPN dan Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) akan bekerjasama dalam menjayakan pelaksanaan piagam harmoni merangkumi enam prinsip, 12 nilai keharmonian, 32 panduan dan sembilan hala tuju.
Beliau turut berkongsi empat ikhtiar utama KPN pada tahun 2025 antaranya mewujudkan ekosistem perpaduan lebih erat antara komuniti serta inisiatif harmoni Madani sebagai usaha memperkukuhkan keharmonian antara masyarakat pelbagai kaum serta penganut agama di negara ini.
Ikhtiar utama KPN juga merangkumi eksplorasi Rukun Negara dengan meningkatkan penghayatan serta memperkasa nilai-nilai Rukun Negara sebagai nadi kepada perpaduan negara dan komuniti sosio-budaya bagi melahirkan rakyat Malaysia yang peka dan menghargai khazanah warisan negara ini.