KUALA LUMPUR: Tahap integriti warga Polis Diraja Malaysia (PDRM) masih membimbangkan walaupun peringatan dan amaran diberikan berulang kali mengenai perkara berkenaan, kata Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain.

Justeru, beliau berkata terdapat keperluan untuk satu perubahan drastik terhadap budaya kerja dan tahap integriti dalam diri warga PDRM agar pasukan keselamatan itu kekal relevan dan dihormati oleh masyarakat.

"Kewibawaan dan imej PDRM tercalar dengan penangkapan segelintir warga PDRM atas kesalahan seperti dadah, jenayah dan salah guna kuasa malah saya dimaklumkan pada 2023, terdapat penglibatan 22 pegawai PDRM sebagai suspek kes jenayah komersial.

"Lebih membimbangkan, penglibatan pegawai PDRM dalam kes jenayah komersial meningkat kepada 23 orang pada Januari hingga September 2024," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Perhimpunan Bulanan Ketua Polis Negara bagi November 2024 anjuran Jabatan Siasatan Jenayah Komersial di Bukit Aman di sini, hari ini.

Turut hadir Timbalan Ketua Polis Negara Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay dan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf.

Razarudin turut melahirkan rasa kecewa dengan tindakan warga PDRM yang terlibat dalam kes salah laku yang dianggapnya sebagai mementingkan diri sendiri.

"Saya amat kecewa dan terkilan kerana amanah di sebalik seragam biru yang kita banggakan ini disalah guna oleh mereka yang tidak keterlaluan jika saya ibaratkan sebagai manusia tidak bermaruah dan mementingkan diri sendiri.

"Justeru, sempena pelancaran Bulan Integriti Nasional 2024 bertemakan 'Teguh Integriti Kukuh Pertiwi' pada 5 Nov yang disempurnakan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof, PDRM menyambut baik usaha murni kerajaan dalam memperkasakan pembudayaan integriti," katanya.

-- BERNAMA