KUALA LUMPUR: Penceritaan adalah instrumen terbaik untuk mendidik dan mendekati masyarakat khususnya dalam usaha mendekatkan mereka dengan sejarah.


Ringkasan AI
  • Ninot Aziz menekankan penceritaan sebagai kaedah efektif dalam pendidikan sejarah untuk mendekatkan masyarakat dengan sejarah.
  • Beliau ingin memajukan penulisan naratif tempatan yang bebas dari mentaliti kolonial untuk menginspirasi orang muda.
  • Ninot melancarkan novel LEYLA'S QUEST di PBAKL 2024, bertujuan menggalakkan belia mencari maklumat dan melakukan penyelidikan kendiri.


Justeru, sasterawan dan penulis, Ninot Aziz, berkata usaha memperbanyakkan kaedah penceritaan dalam pendidikan sejarah perlu digiatkan.

Beliau berhasrat mahu menyuburkan budaya penulisan yang berpaksikan naratif tempatan tanpa terikat kepada mentaliti kolonial.

Penulis kelahiran Australia itu berkata, penceritaan sejarah yang disulam dengan fiksyen mampu memberi inspirasi kepada orang muda untuk berfikir mengenai realiti dunia dengan lebih mendalam.

Selain itu, Ninot berharap penerbitan lebih banyak bahan bacaan sedemikian dapat menggalakkan belia mencari maklumat, melakukan penyelidikan kendiri, analisis berhati-hati, dan seterusnya membuat kesimpulan berasaskan pengetahuan.

Beliau berkata demikian semasa pelancaran novel terbaharunya LEYLA'S QUEST Echoes of Uthmaniyah di Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2024 (PBAKL 2024) pada Rabu.

"Saya yakin elemen penceritaan adalah penting dalam masyarakat kini. (Sebagai contoh) hubungan antara Empayar Uthmaniyyah dan Kesulatanan Melaka tidak pernah diungkapkan semula.

"Bagi saya mustahil dua tunjang dunia Islam kurun ke-15 tidak tahu mengenai satu sama lain. Dengan pengungkapan semula kisah ini, saya berharap LEYLA'S QUEST memberi inspirasi kepada orang muda," ujarnya.

LEYLA'S QUEST diluncurkan di PBAKL 2024 secara simbolik pada hari ulang tahun penaklukan Sultan Muhammad al-Fateh keatas Kota Konstantinopel pada tahun 1453.