WASHINGTON: Pemandu di kotaraya New York kini perlu membayar caj sebanyak AS$9 (RM40.60) untuk memasuki Manhattan, sebagai sebahagian daripada langkah pertama seumpamanya di Amerika Syarikat (AS).

Caj ini bertujuan mengutip dana berbilion dolar untuk pengangkutan awam dan mengurangkan kesesakan lalu lintas.

Caj tersebut mula dikuatkuasakan pada Ahad lalu selepas permohonan New Jersey untuk menangguhkan pelaksanaan itu melalui mahkamah ditolak pada Jumaat.

New York mempercepatkan pelaksanaan caj itu sebelum pelantikan Presiden terpilih Donald Trump pada 20 Januari ini.

Trump, yang memiliki kediaman di Manhattan, menentang caj ini dan berkata, akan cuba menghalangnya.

New York mengenakan caj sebanyak AS$9 bagi kenderaan penumpang yang memasuki kawasan
Manhattan di selatan Jalan 60 pada waktu siang.

Kenderaan seperti trak dan bas pula dikenakan caj sehingga AS$21.60 (RM97), sementara caj dikurangkan sebanyak 75 peratus pada waktu malam.

Caj ini dikenakan melalui pembaca elektronik pada plat nombor kenderaan, dengan kenderaan peribadi hanya dikenakan caj sekali sehari, tanpa mengira berapa kali mereka memasuki kawasan tersebut.

Sementara itu, teksi dikenakan caj sebanyak 75 sen setiap perjalanan, manakala kenderaan perkhidmatan e-hailing seperti Uber dan Lyft dikenakan AS$1.50 (RM6.80) bagi setiap perjalanan.

Walaupun New York adalah bandar pertama di AS melaksanakan sistem ini, London telah melakukannya sejak 2003 dengan caj semasa sebanyak 15 paun (RM85).

Menurut Sarah Kaufman, pengarah di Rudin Center for Transportation Universiti New York, pengalaman bandar lain menunjukkan caj seperti ini pada mulanya tidak popular.

"Penduduk kemudian mula menghargai pengurangan lalu lintas dan perkhidmatan pengangkutan yang bertambah baik. Harapnya, perkara yang sama akan berlaku di New York," katanya.

Metropolitan Transportation Authority New York pula menjangkakan, pelaksanaan caj ini akan mengurangkan 80,000 kenderaan sehari, iaitu pengurangan sebanyak 11 peratus, di kawasan yang dianggap sebagai kawasan paling sesak di AS.

Lebih daripada 700,000 kenderaan memasuki kawasan pusat perniagaan Manhattan setiap hari, dengan kelajuan lalu lintas purata hanya sekitar 11 km/j iaitu 23 peratus lebih perlahan berbanding pada 2010.

Bandar ini menganggarkan caj kesesakan lalu lintas yang akan menjana pendapatan sebanyak AS$500 juta pada tahun pertama.

Gabenor New York Kathy Hochul berkata, pendapatan itu akan digunakan untuk menyokong pembiayaan hutang sebanyak AS$15 bilion bagi pelaburan dalam kereta api bawah tanah, bas, dan penambahbaikan pengangkutan awam lain. - Reuters