NEW YORK: Pelan harga kesesakan kenderaan yang meliputi kawasan Lower dan Midtown Manhattan mula berkuat kuasa pada Ahad, menjadikan New York City, bandar raya pertama di Amerika Syarikat (AS) melaksanakan pelan sedemikian, lapor Xinhua.

Kenderaan akan dikenakan tol untuk memasuki zon pelepasan kesesakan dengan jumlah bayaran bergantung kepada jenis kenderaan, masa, sama ada terdapat kredit lintasan, serta kaedah pembayaran, dengan diskaun dan pengecualian diberikan kepada pemandu atau kenderaan tertentu, menurut Pihak Berkuasa Pengangkutan Metropolitan (MTA).

Kenderaan penumpang dan komersial kecil, lori, bas, dan motosikal yang memasuki zon pelepasan kesesakan akan dikenakan bayaran sekali sehari, manakala penumpang teksi dan kenderaan sewa akan dikenakan bayaran bagi setiap perjalanan ke, dari, dalam, atau melalui zon terbabit.

Tol itu dijangka diselaraskan pada 2028 dan 2031 apabila pengawal selia secara berperingkat menghapuskan 40 peratus diskaun yang ditawarkan pada peringkat awal.

Pelan harga kesesakan ini dianggarkan dapat mengurangkan jumlah kenderaan memasuki zon pelepasan kesesakan sebanyak 10 peratus dan jarak perjalanan kenderaan di zon itu sebanyak lima peratus.

MTA dijangka memperoleh hasil tambahan sebanyak US$1 bilion setahun bagi membiayai pelan perbelanjaan modal sehingga US$15 bilion.

Pelan berkenaan mencetuskan kontroversi dengan pelbagai tuntutan mahkamah difailkan di New York dan New Jersey, tetapi pihak lawan gagal menghalang pelaksanaannya.

-- BERNAMA