Ketua Polis Daerah Sungai Golok Kol Pol Jadsadavit Ingprapan berkata suspek berusia 24 tahun yang berasal dari utara tanah air itu dipercayai terlibat dalam sindiket penyeludupan dadah antarabangsa.
Beliau berkata dalam serbuan itu, polis merampas sejumlah 1,943 biji pil ekstasi, pil erimin 5 (1,510 biji) serta beberapa jenis dadah lain yang turut ditemukan dalam premis berkenaan.
"Suspek akan dibawa ke Mahkamah Wilayah Narathiwat untuk tahanan sementara dan sampel air kencingnya telah diambil untuk ujian saringan di Hospital Sungai Golok.
"Polis Thailand kini sedang menyiasat sumber asal dadah itu, dan memeriksa latar belakang suspek untuk mengetahui jika dia mempunyai rekod kesalahan dadah di negara ini," katanya ketika dihubungi hari ini.
Jadsadavit berkata serbuan ini dianggap sebagai satu daripada rampasan terbesar oleh polis Thailand, selepas kejayaan besar pada awal November lepas iaitu 6,000 biji pil kuda turut dirampas melibatkan enam rakyat Malaysia termasuk seorang penyanyi wanita di Kelantan.
"Kami akan terus memperketatkan kawalan dan memburu sindiket penyeludupan dadah yang beroperasi di sempadan ini.
"Rampasan ini adalah bukti komitmen pihak berkuasa Thailand dalam memerangi penyeludupan dadah, serta menjaga keselamatan di sepanjang sempadan negara," katanya.
Sementara itu, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman Datuk Seri Khaw Kok Chin berkata Sekretariat Nukleus Narkotik (SNN) Polis Diraja Malaysia (PDRM) bekerjasama dengan polis Thailand bagi mendapatkan maklumat lanjut berhubung penahanan itu, termasuk menyiasat kemungkinan dadah berkenaan untuk pasaran di dalam negara.
"Lelaki itu ditahan di sebuah hotel di Sungai Golok kerana kesalahan memiliki dadah," katanya kepada Bernama, di sini hari ini.
Khaw berkata siasatan mendapati lelaki terbabit dipercayai aktif menjual dadah di sekitar Sungai Golok.
-- BERNAMA