STATISTIK menunjukkan ramai wanita memilih untuk menangguhkan rancangan kehamilan sehingga ada yang menjangkaui usia 40an.

Alasan di sebalik keputusan ini adalah pelbagai, termasuk cita-cita dan kerjaya, serta keinginan untuk membina keluarga pada usia yang lebih matang. Tidak ketinggalan, atas faktor semula jadi seperti masalah kesuburan yang menolak usaha hamil sehingga mereka mencapai usia lewat 30-an atau 40-an.

Apapun, hamil pada 40-an sememangnya satu cabaran besar kepada para ibu di mana ia membawa risiko dan cabaran tersendiri yang perlu difahami. Pakar Perunding Obstetrik dan Ginekologi dari Hospital Pantai Ampang, Dr. Sai Sudha, dalam satu temuramah mengenai penjagaan kesihatan bagi wanita hamil yang berusia 40 tahun ke atas memberitahu, walaupun ia satu cabaran besar, namun, jika kesemua langkah penjagaan diambil kira dan diikuti secara betul, ia selamat untuk kedua-dua ibu dan bayi.

Risiko-risiko kehamilan pada usia 40-an

Menurut Dr. Sai Sudha, wanita yang hamil pada usia 40 tahun dan ke atas mungkin menghadapi beberapa risiko kesihatan yang perlu difahami secara lebih mendalam, seperti:


Ujian Antenatal untuk mengesan kecacatan waktu lahir

Sudah tentu setiap ibu bapa yang hamil peka terhadap perkembangan kesihatan si kecil mereka apatah lagi jika ibu berdepan kehamilan berisiko. Oleh yang demikian, bagi mengelak sebarang ketidakselesaan, Dr. Sai Sudha berkata ibu bapa boleh mempertimbangkan beberapa cara dan kaedah perubatan untuk memeriksa keadaan janin.

“Penting untuk menyedari bahawa ada pelbagai ujian antenatal yang boleh membantu dalam mengesan kecacatan waktu lahir pada bayi,” katanya.

Dunia perubatan masa kini menyediakan pelbagai pilihan pemeriksaan, salah satu daripadanya ialah NIPT (Non-Invasive Prenatal Testing). “NIPT adalah satu ujian darah yang menilai DNA janin yang terdapat dalam darah ibu. Ia mampu mengesan sindrom genetik seperti Down, Patau, dan Edwards. Ujian ini boleh dilakukan pada 12 hingga 13 minggu kehamilan dan seterusnya,” kata Dr. Sai Sudha.

Seterusnya, ujian Nuchal Translucency Scan (Imbasan NT) yang mana mengukur ketebalan cecair di belakang leher janin untuk mengesan kebarangkalian bayi mengalami Down’s Syndrome. Ia juga melibatkan ujian darah yang mengukur tahap hormon manusia chorionic gonadotropin (hCG) dan protein plasenta-A (PAP). Ujian ini memberikan skor risiko yang lebih tepat dan sebenar.

“Imbasan NT ini hanya boleh dilakukan dalam tempoh 11 minggu hingga 13 minggu dan 6 hari kehamilan. Selepas minggu ke-15, cecair ini biasanya akan menjadi kulit. Oleh itu, selepas minggu ke-15 janin yang normal dan yang genetically abnormal tidak dapat dibezakan melalui ultrasound,” ujar Dr.Sai Sudha.

Beliau turut menyarankan pemeriksaan terperinci di antara minggu ke-20 hingga ke-24 kehamilan bagi mengesan masalah struktur dalam pembentukan bayi. Katanya, doktor akan memeriksa struktur otak, muka, jari, dan organ lain dalam bayi.

Namun, Dr. Sai Sudha menegaskan, pemeriksaan Imbasan NT bukan sahaja bergantung kepada ujian tersebut, malah turut melibatkan beberapa ujian darah yang lain. Ia membantu dalam menentukan skor risiko kesihatan janin yang lebih tepat.

Penjagaan kesihatan semasa kehamilan

Bagi wanita yang hamil untuk kali pertama pada usia 40-an, penjagaan kesihatan yang cermat dan penuh berhati-hati adalah penting. Dr. Sai Sudha menasihati, "Jika anda mempunyai masalah kesihatan kronik, adalah penting untuk memastikan keadaan kesihatan anda berada pada tahap optimum sebelum merancang untuk mengandung. Ini termasuk mengatur ubat-ubatan yang selamat dan berunding dengan doktor."

Selain itu, pemakanan yang sihat, menjaga berat badan yang optimum, gaya hidup yang sihat, senaman dan pemantauan kesihatan adalah penting sama sekali penting dan mustahak. Dr. Sai Sudha menekankan kepentingan pengambilan asid folik dan pemeriksaan teratur bagi wanita hamil berusia 40 tahun ke atas.


Kafein Semasa Kehamilan

Satu isu yang sering dibangkitkan adalah pengambilan kafein semasa kehamilan. Dr. Sai Sudha menjelaskan, "Kajian menunjukkan bahawa pengambilan kafein yang tinggi semasa kehamilan boleh meningkatkan risiko berat badan yang tidak memuaskan pada bayi, usia kehamilan bayi dan pertumbuhan yang tidak optimum."

Bagaimanapun, Dr. Sai Sudha menyarankan, "Satu cawan kopi atau teh dengan jumlah sekitar 200 ml adalah selamat untuk kebanyakan individu. Bagaimanapun, pengambilan kafein sepatutnya diambil kira daripada semua sumber kafein termasuk minuman berkafein seperti minuman bergas dan makanan yang mengandungi kafein."

Beliau menegaskan, "Walaupun kafein boleh memberi kesan kepada pertumbuhan bayi, kesan ini adalah kecil dan tidak signifikan secara am.” Beliau juga menekankan bahawa kajian ke atas kafein masih dalam perbincangan, dan sebatian ini tidak dilihat sebagai zat yang menyebabkan kebergantungan tagih seperti dadah.


Gaya hidup dan penjagaan kesihatan

Selain pengambilan makanan dan minuman, Dr. Sai Sudha menekankan kepentingan gaya hidup yang sihat. Beliau menyatakan, "Penting untuk suami dan isteri menjalani gaya hidup sihat, termasuk menjaga kesihatan mental mereka. Hindari merokok dan alkohol, kerana merokok boleh memberi kesan kepada pertumbuhan bayi dan plasenta."

Menurut beliau lagi, "Bagi wanita yang berusia lebih 40 tahun, adalah penting untuk menjaga kehamilan dengan teliti. Pastikan pemakanan yang seimbang, hidrasi yang mencukupi, dan senaman yang bersesuaian. Selain itu, menghadiri temujanji antenatal dan mengikut semua garis panduan kesihatan adalah penting."


Persoalan berkaitan prosedur bersalin

Pertanyaan yang sering timbul adalah sama ada prosedur bersalin secara caesarean (C-sect) adalah pilihan yang lebih baik berbanding melahirkan secara semula jadi untuk wanita yang berusia 40 tahun ke atas. Dr. Sai Sudha memberikan penerangan, "Tidak semestinya. Walaupun bersalin secara semula jadi adalah pilihan yang utama, ia masih bergantung kepada risiko kesihatan ibu mengandung dan keadaan kesihatan janin."

"Jika wanita ini mempunyai risiko bayi lemas, bayi menghadapi stres, masalah perubatan, atau komplikasi seperti pre-eklampsia, prosedur bersalin secara caesarean mungkin diperlukan. Bagaimanapun, ini adalah keputusan yang dibuat berdasarkan faktor risiko kesihatan, bukan semata-mata disebabkan usia wanita tersebut," kata Dr Sai Sudha.