Bakal mencetus revolusi dalam pengeluaran telefon pintar, ini mungkin telefon pintar paling murah di India, dan mungkin yang termurah seumpamanya di seluruh dunia.

Menurut laporan CNBC.com, telefon pintar hasil syarikat India, Ringing Bells, yang dikenali sebagai Freedom 251 kini dijual pada harga AS$4 (RM16.70).

“Ini merupakan model flagship kami dan kami yakin ia akan merevolusikan industri,” kata seorang jurucakap Ringing Bells kepada AFP.

Lapor NDTV, antara ciri-ciri telefon pintar ini adalah skrin paparan bersaiz 4 inci, kamera depan 0.3 megapiksel dan kamera belakang 3.2 megapiksel.

Projek ini turut mendapat sokongan padu kerajaan India dalam usaha untuk memberi akses digital kepada semua rakyat India.

Sebelum ini, India melancarkan tablet Aakash yang dijual pada harga 3,000 rupee (RM183) sebagai langkah kerajaan untuk menawarkan peranti yang dijual pada harga berpatutan kepada pelajar kolej.