PUTRAJAYA: Malaysia sedang memantau rapat perkembangan susulan insiden tembakan yang berlaku di sekitar sebuah masjid di wilayah Wadi Al Kabir, Oman pada awal pagi Selasa.

Kementerian Luar (Wisma Putra) melalui Kedutaan Besar Malaysia di Muscat, Oman sedang giat menyelaras usaha dengan pihak berkuasa tempatan untuk mendapatkan maklumat lanjut.

"Rakyat Malaysia di kawasan terjejas dinasihatkan untuk berwaspada dan berhati-hati dan mengikuti perkembangan terkini serta nasihat yang telah dikeluarkan oleh pihak berkuasa tempatan," menurut kenyataan Wisma Putra.

Rakyat Malaysia yang memerlukan bantuan konsular atau mempunyai sebarang pertanyaan lanjut dinasihatkan untuk menghubungi Kedutaan Besar Malaysia di Muscat, beralamat Villa No.2443, Way 3030 Shatti Al Qurum P.O. Box 51, Bareeq Alshati, Muscat atau menelefon +(968) 2469 8329, +(968) 7159 2388 atau melalui alamat e-mel mwmuscat@kln.gov.my.

Wisma Putra memaklumkan perkembangan terkini mengenai kejadian ini akan dimaklumkan dari semasa ke semasa.

Menurut laporan Agensi Anadolu memetik kenyataan polis, sekurang-kurangnya empat orang terbunuh manakala beberapa lagi cedera dalam insiden tembakan itu.

-- BERNAMA