Bagi peminat ikan air tawar sekiranya mahu mendapatkannya anda dipelawa berkunjung ke Pekan Sehari di sini pada pagi Ahad. Tambahan pula pada musim kemarau seperti sekarang ini adalah musim terbaik untuk peminat ikan sungai membelinya.

Bagaimanapun, bagi sesetengah orang luar mungkin akan tertarik dengan gelagat penjual ikan sungai yang saling berteriak menarik perhatian pembeli.

Jika fikiran membayangkan suasana seperti kebiasaan pasar malam di bandar, sudah pasti hanya 'kekecewaan' yang dirasai kerana tiada meja, tiada payung mahupun mesin penimbang dapat disaksikan di tapak jualan.

Cukup dengan hamparan plastik atau sesetengah peniaga menggunakan daun pisang manakala pelbagai jenis ikan sungai sekadar dilonggokkan mengikut saiz kerana semua harga jualan adalah secara 'longgok'.

"Senang macam ini... sebab dari dulu lagi memang begini caranya. Kita pun bukan hendak berkira sangat dengan harga," kata seorang penjual Abdul Rani Mohd Kasdi semasa ditemui Bernama di sini, baru-baru ini.

Abdul Rani, 40, berkata musim kemarau menyebabkan air sungai menjadi cetek hingga mudah untuk menangkap ikan dan hasilnya pun banyak. Sebab itulah musim kemarau adalah masa yang terbaik bagi peminat ikan air tawar untuk mendapatkan harga ikan yang murah.

PEMINAT TERSENDIRI

Contohnya, anak kelahiran Kampung Tebal di sini menunjuk ke arah ikan seluang, lampam, kerai, tengalan dan lampam 'dihimpunkan' bersaiz sederhana sebanyak enam hingga tujuh ekor dan lebih banyak jika bersaiz kecil dijual pada harga antara RM5.00 ke RM10 selonggok.

Bagaimanapun, Abdul Rani mengakui bahawa spesies ikan sungai yang sukar diperoleh seperti tamalian atau juga dikenali sebagai tomoleh masih kekal iaitu sekitar RM30 sekilogram atau RM70 untuk seekor.

"Walaupun mahal, ikan sungai ini ada peminatnya tersendiri dan cara masak juga mudah. Ikan tamalian ini sedap dimasak lemak cili api dicampur dengan belimbing buluh bagi menggantikan asam keping.

"Ikan-ikan kecil pula cukup hanya digaul dengan garam dan kunyit sebelum digoreng garing," katanya yang ligat membungkus ikan yang diminta pelanggan dengan suratkhabar sebelum dimasukkan ke dalam beg plastik.

Abdul Rani menjelaskan beliau boleh memperoleh pendapatan antara RM300 ke RM400 seminggu pada musim panas yang disifatkannya sebagai 'keringat menahan jaring', berbanding kurang daripada RM200 pada waktu lain.

Pekan Sehari Temerloh popular dengan pengunjung dari dalam dan luar daerah yang ingin mendapatkan pelbagai jenis ikan sungai. - Gambar fail

RAHMAT MUSIM KEMARAU

Seorang lagi peniaga ikan sungai, Zulfadli Abdul Latif, 49, yang berasal dari Kampung Seberang Temerloh di sini, turut mengakui musim kemarau sebagai pembawa rezeki tambahan meskipun lebih penat untuk mencari ikan.

Beliau yang berniaga bersama-sama sepupunya Rohaniza Mohd Mokhtar, 28, berkata pembeli ikan sungai di pekan sehari yang dikatakan pasar pagi terpanjang di Pahang itu tidak pernah merungut tentang ikan yang dibeli kerana kualitinya amat terjamin.

"Ikan yang dijual biasanya ditangkap sehari dua sebelum Ahad. Tidak ada yang disimpan selama seminggu. Sebab itu rasa manis ikan masih ada... itu yang menjamin kesedapan ikan walaupun hanya digoreng," katanya.

Zulfadli yang mencari ikan sungai secara sambilan menambah ikan yang tidak habis dijual juga tidak akan 'dikitar semula', sebaliknya diproses menjadi pekasam Pahang yang hanya menggunakan garam, kunyit dan asam keping.

Ikan sungai yang diproses menjadi ikan pekasam menggunakan beras yang digoreng dan dikisar juga mendapat sambutan hangat pengguna ekoran aromanya yang dapat membangkitkan selera apabila digoreng, katanya.

"Daripada dibuang begitu sahaja, baik dijadikan pekasam. Hendak dibawa balik, anak-anak tidak begitu seronok. Jemu barangkali kerana sejak kecil selalu lihat ayahnya bawa balik ikan sungai," katanya sambil tersenyum.

Ikan patin masak tempoyak adalah antara menu paling popular jika berkunjung ke negeri Pahang. - Foto Bernama

SIAP DISIANG

Zulfadli berkata satu keunikan di pasar pagi itu ialah semua ikan sungai yang dijual adalah 'produk siap' kerana telah dibuang sisik dan disiang, sekali gus memudahkan pembeli kerana mereka hanya perlu mencuci dan terus dimasak.

"Ikan sungai ini kecil dan bersisik. Bayangkan jika dibeli dalam jumlah yang banyak... kami dah biasa, tapi letih jugalah jika menyiang ikan bersaiz dua jari untuk beberapa jam," katanya.

Mengulas mengenai gelagat pembeli, Zulfadli berkata ada masanya beliau tersenyum sendiri apabila melihat pembeli sukar membezakan jenis ikan di hadapannya kerana pada pandangan mata kasar, beberapa jenis ikan kecil itu kelihatan seakan-akan sama.

Pernah juga beberapa kali 'berdebat' mengenai jenis ikan kerana pembeli tidak mahu mengakui 'silap' sebaliknya bermati-matian mempertahankan pendapat mereka.

"Mula-mula sibuk juga kita nak betulkan, tapi bila dah lihat semangatnya dia (pembeli), kita hanya mampu senyum sahaja. Yang penting mereka beli (ikan)," katanya.