BERAT mata memandang, berat lagi bahu yang memikul.

Melihat kemusnahan dan penderitaan mangsa banjir dengan mata sendiri nyata cukup menyentap naluri pelakon, Datuk Fizz Fairuz.

Dalam satu perkongsian baru-baru ini, Fizz Fairuz bersama- sama menjayakan misi kemanusiaan membantu mangsa banjir bersama sebuah badan bukan kerajaan di beberapa lokasi di Pantai Timur terutama Pahang, baru-baru ini. 

Namun apa yang menyedihkan, bantuan itu tidak dapat diteruskan lagi buat sementara waktu saat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) kembali berkuat kuasa ketika ini.

Sebagai anak jati kelahiran Raub, Pahang, suami kepada Almy Nadia itu berkata misi disertainya turut membuatkan dirinya tersentuh.

“Ada rumah yang kami hulurkan bantuan dan melakukan aktiviti pembersihan terdiri daripada mereka yang sudah berusia. Ada yang dilihat bagai sudah tak berdaya namun tetap kuat mengharungi ujian berkenaan

“Sekarang kalau sudah PKP menyukar dan membataskan pergerakan termasuk nak rentas negeri pun tak boleh. Kalau sebelum PKP ada anak mangsa atau orang muda yang boleh tolong jadi sukarelawan.

“Sekarang ini saya tak dapat bayangkan nasib mangsa banjir terutama golongan tua nak terus berdepan kesulitan itu. Yang boleh bantu pun sekitar jarak 10 kilometer. Sedih yang sukar digambarkan,” katanya.

Menurut pelakon drama Kampung People itu lagi, ada ura ura pada pertengahan bulan ini akan ada lagi gelombang kedua air pasang besar. 

BACA ARTIKEL MAJALAH KELUARGA DI SINI

“Saya bukan meminta minta air pasang itu kembali semula. Cuma harap ia sekadar ura-ura. Kesan banjir baru baru ini pun belum sempat pulih, bagaimana pula nak berdepan gelombang kedua jika ia benar benar terjadi.

“Terutama mereka yang berusia tinggal di kawasan perkampungan dekat dengan sungai,” katanya.

Kata Fizz atau nama sebenarnya, Fairuz Zainal Abidin berkata misi kali ini sempat memanjangkan bantuan ke empat lokasi di Raub, Benta, Chenor dan Maran.

“Kawasan di Benta antara yang saya boleh katakan kronik dan teruk terkesan dek banjir melanda. Bayangkan kejadian sekitar 50 tahun lalu berlaku balik kali ini di Benta.

“Kalau sebelum ini banjir hanya dilihat menenggelamkan paras anak tangga rumah. Kejadian kali ini mengulangi insiden 50 tahun lalu apabila rumah tenggelam sampai paras bumbung.



Artikel ini telah dimuat naik di portal Keluarga terbitan Nu Ideaktifv