Gunung Ledang atau juga di kenali sebagai Mount Ophir di Johor sememangnya menjadi lokasi menarik buat peminat aktiviti lasak pendakian.

Cabaran itu nyata disahut seramai 23 pelajar (terdiri daripada Majlis Perwakilan Pelajar Politeknik Tun Syed Nasir Syed Ismail), 6 orang pensyarah, 3 lagi pelajar telah menjalankan ekspedisi ke gunung ini pada Disember lalu.

Ia bermula dengan taklimat pendakian dan aktiviti pemanasan pada 8.30 pagi dan pendakian bermula 9.30 pagi.

Mendaki dengan kelengkapan pendakian asas (seperti lampu suluh dan baju hujan) disokong dengan semangat tinggi para peserta.

Namun, fasilitator daripada Taman Negara Gunung Ledang telah menasihatkan kami untuk melalui trek yang kurang cabarannya demi keselamatan iaitu di laluan Pedita.

Laluan ini tidak memerlukan kami untuk mendaki menggunakan tali dan sebaliknya menggunakan laluan 'KFC', bukan kedai ayam goreng, tetapi 'Killing Fitness Center'.

Dalam senarai peserta tersebut, ada yang kali pertama mengikuti aktiviti seumpamanya.

Walaupun ada yang mempunyai masalah fizikal, namun itu tidak menjadi penghalang kerana kami mendapat suntikan semangat daripada rakan-rakan yang lain.

Tepat 9.30 pagi, kami memulakan pendakian menuju ke CP1 (Bukit Semput) dan mengambil masa selama 40 minit. Di situ, kami perlu melalui kira-kira lebih daripada 700 anak tangga (Tangga Mahligai) dan trek.

Itu baru permulaan. Agak mencabar juga pada 'sistem pernafasan' kami kerana ada yang sudah mula tercungap-cungap dan lutut 'bergetar' akibat jarang bersenam.

Perjalanan yang mencabar tetap diteruskan dengan semangat setiakawan.

Pendakian diteruskan ke CP2 iaitu Lagenda Trail dan CP3 Batu Orkid.

Walaupun ada yang hampir mengalah namun dengan sokongan, dorongan dan bantuan daripada rakan-rakan, perjalanan diteruskan sehingga tiba di Simpang Pendita.

Simpang ini akan digunakan apabila pendaki gagal untuk tiba sebelum pukul 11.30 pagi dan untuk pendaki yang tidak mempunyai kelengkapan pendakian yang mencukupi.

Laluan Pedita adalah laluan yang digunakan untuk pendaki turun daripada gunung, dan mengambil masa dua jam setengah untuk tiba ke puncak Gunung Ledang.

Namun, selepas melalui Simpang Pendita, salah seorang pendaki tidak dapat meneruskan pendakian dan dia terpaksa turun berserta tiga orang pendaki lain untuk menemaninya.

Akhirnya, kami sampai di puncak Gunung Ledang pukul 2.30 petang.

Di kawasan puncak itu, kami menikmati makan tengah hari yang siap dibawa. Sesi makan jadi tambah berselera, lebih-lebih lagi dalam cuaca yang sejuk seperti suasana di Kundasang, Sabah.

Begitupun, pengalaman itu nampaknya tidak dapat dirasai oleh 10 orang pendaki lain yang tidak dapat sampai ke puncak. Lima saripada mereka hanya mampu sampai ke Kem Senget.

Tepat jam 3 petang, pendaki diarahkan untuk turun kerana risau hal keselamatan.

Kami juga tidak melepaskan peluang menikmati air terjun di sepanjang perjalanan

Tiba di Kem Senget, kami berhenti sekejap untuk melunaskan solat Zuhur dan Asar secara jamak sebelum meneruskan perjalanan.

Perjalanan ke kaki gunung perlu dibuat secepat mungkin sebelum matahari terbenam, untuk mengelakkan kami berdepan masalah sekiranya belum tiba di kaki gunung ketika suasana sudah gelap.

Walaupun semua peserta ketika itu dalam kepenatan, perjalanan perlu diteruskan kerana masing-masing bimbang terserempak haiwan buas pada waktu malam.

Dalam semangat hendak menuruni laluan, terdapat peserta yang melakukannya secara mengengsot kerana kaki yang sangat sakit dan tidak mampu lagi untuk menampung berat badan.

Begitupun, atas sokongan, kerjasama dan keprihatinan rakan-rakan, peserta itu akhirnya berjaya tiba di kaki gunung dengan selamat bersama peserta lain.

Ketika empat peserta yang terakhir tiba di lokasi berkumpul di kaki gunung, waktu sudah menunjukkan pukul 7.45 malam.

Jika ditanya apakah perasaan apabila berjaya menyempurnakan aktiviti ini, tentunya kami akan berkata - seronok dan puas!


* Laporan ini disediakan oleh AWANI Rangers Norejan Mohd Rizali dari Politeknik Tun Syed Nasir Syed Ismail, Pagoh.

** AWANI Rangers ialah inisiatif Astro AWANI bagi menggalakkan pelajar Institut Pengajian Tinggi berkongsi cerita serta menghasilkan bahan berita dan informasi dalam era kewartawanan moden.