Persatuan pelajar The Broadcasting Student Association (THE CAST) dari Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media (FKPM), UiTM Kampus Rembau, Negeri Sembilan telah menganjurkan sebuah program yang dipanggil ‘Broadcasting Metanoia (Castonia)”.

Program dua hari satu malam yang berlangsung di Villa D’Acqua ini, melibatkan pelbagai bentuk pengisian bertujuan membina sahsiah, keyakinan dan semangat kepasukanan antara pelajar, khususnya mereka yang berada di dalam jurusan Ijazah Sarjana Muda Komunikasi Masa (Penyiaran).

Salah satu pengisian program ini adalah penganjuran aktiviti UiTM-PDK Frollic Rollic Day yang menerapkan konsep khidmat masyarakat.

Penganjuran kali ini mendapat kerjasama baik dengan Pusat Pemulihan Dalam Komuniti (PPDK), Seri Kemunting, Masjid Tanah.

Selain guru, seramai 10 pelajar PPDK pelbagai peringkat umur yang mengalami masalah syndrome down, lembam, dan autisme terlibat sama dalam memeriahkan aktiviti tersebut.

Di dalam aktiviti ini, pelajar dan pensyarah UiTM serta pelajar PPDK digabungkan di dalam kumpulan dan setiap kumpulan perlu bersaing untuk memenangi acara sukan yang telah ditentukan oleh penganjur.

Menurut pensyarah FKPM merangkap Penasihat Program, Isma Zuriyya Ismail, program UiTM – PPDK Frollic Rollic Day ini bertujuan untuk memberi kesedaran kepada masyarakat supaya lebih bersikap terbuka dan mengenali potensi anak-anak yang dikategorikan sebagai OKU.

“Anak anak OKU harus dibawa keluar dan diketengahkan kepada masyarakat supaya pandangan serong dan persepi yang tidak tepat dapat kita kurangkan terhadap mereka yang mengalami masalah syndrome down dan autisme terutamanya.’

Sementara itu, menurut Muhammad Naif Naili, yang bertindak sebagai Ketua Program, berkata bahawa pengalaman ini secara tidak langsung membantu pelajar penyiaran membina kemahiran komunikasi memupuk sifat prihatin dan empati terhadap rakan sekerja dan masyarakat sekeliling apabila menghadapi dunia pekerjaan nanti.

“ Idea ini tercetus apabila kita ingin melakukan suatu program yang dapat membantu pelajar lebih yakin, untuk berhadapan dengan masyarakat, tidak kira golongan masyarakat apa yang akan dihadapi oleh mereka pada masa akan datang”.

Wakil PPDK, Nurnadiah Othman yang bertugas sebagai guru pengiring berkata, program ini dapat memberi peluang kepada pelajar OKU yang berdaftar dengan PPDK bergaul dengan masyarakat luar dan beliau juga berharap program seperti ini diteruskan pada masa akan datang.

Ahli Parlimen Masjid Tanah, YB Datuk Wira Hajah Mas Ermieyati Samsudin juga menunjukkan sokongan baik dengan kesudian menaja 10 buah hamper untuk sesi penyampaian hadiah. Selain itu, pihak Villa D’Acqua juga berbesar hati menaja lokasi untuk pihak penganjur menjalankan aktiviti ini tanpa sebarang bayaran dikenakan.



* Laporan ini disediakan oleh Awani Rangers, Universiti Teknologi MARA (UiTM) Rembau.

**Awani Rangers ialah inisiatif Astro AWANI bagi menggalakkan pelajar Institut Pengajian Tinggi untuk berkongsi cerita serta menghasilkan bahan berita dan informasi dalam era kewartawanan moden.