HANYA beberapa minggu selepas penampilan pertamanya di layar perak, Leo, kucing berbaka crossbreed Maine Coon yang memainkan watak Church dalam filem remake 1989, Pet Sematary, peminat dikejutkan dengan berita kematiannya pada Khamis.

Hal itu dimaklumkan pemilik Leo, Kirk Jarrett menerusi akaun Instagram si comel itu yang mempunyai lebih 19,000 pengikut.

"Dengan rasa sedih kami ingin memaklumkan Leo telah mati. Ia akan tetap dirindui dan diingati," entri itu menyebut.






Leo mati akibat satu keadaan kesihatan yang dipanggil arterial thromboembolus (ATE), sejenis kecacatan jantung kongenital yang kerap dihidapi kucing daripada baka tersebut.

Watak Church dimainkan empat ekor kucing berbeza, namun Leo adalah yang paling menonjol, apatah lagi imejnya juga digunakan dalam semua kempen promosi.

Sebelum penggambaran filem itu, Leo tinggal di sebuah pusat perlindungan haiwan, namun ia diambil sebagai peliharaan oleh Jarrett yang juga seorang pelatih haiwan selepas tamat penggambaran.

"Leo seekor kucing yang penuh keyakinan dan matanya penuh ekspresi," kata Jarrett.