BARCELONA dan Paris Saint-Germain (PSG) akan membuat perhitungan dalam perlawanan pusingan 16 Liga Juara-Juara Eropah (UCL) seperti tiga tahun lalu manakala juara bertahan, Bayern Munich, diundi bertemu Lazio menerusi majlis undia di Nyon malam tadi.

Pasukan gergasi LaLiga, Barca, menjadi pasukan pertama dalam sejarah kejohanan itu menterbalikkan defisit 4-0 dalam perlawanan pertama dengan menewaskan PSG 6-1 dalam perlawanan timbal balik di peringkat sama musim 2016-17.

Barca turut menewaskan PSG dalam suku akhir ketika mereka meraih gelaran 'treble' musim 2014-15 selain suku akhir musim 2012-13.

PSG menamatkan saingan musim lalu selaku naib juara selepas tewas kepada Bayern, yang akan bertemu pasukan Serie A, Lazio, buat kali pertama dalam sejarah peringkat Eropah.


Jurgen Klopp akan pulang ke Jerman selepas juara musim 2018-19, Liverpool, diundi untuk berdepan RB Leipzig manakala satu lagi pasukan Bundesliga, Borussia Monchengladbach, juga akan bertemu wakil Liga Perdana Inggeris (EPL), Manchester City -- di mana mereka pernah bertemu dalam peringkat kumpulan musim 2015-16 dan 2016-17.

Pendahulu LaLiga, Atletico Madrid, akan menghadapi satu lagi pasukan EPL, Chelsea, yang kini dikendalikan oleh juara UCL tahun 2012, Frank Lampard.

Juara 13 kali, Real Madrid, berdepan cabaran berbeza untuk menentang Atalanta manakala skuad kendalian Andrea Pirlo, Juventus, akan bertemu Porto selain Sevilla lawan Borussia Dotmund.

Perlawanan pertama pusingan 16 akan berlangsung pada 16, 17, 23 dan 24 Februari depan sementara perlawanan kedua akan mengambil tempat pada 9, 10, 16 dan 17 Mac 2021.

Undian penuh:
Borussia Monchengladbach lwn Manchester City
Lazio lwn Bayern Munich
Atletico Madrid lwn Chelsea
RB Leipzig lwn Liverpool
Porto lwn Juventus
Barcelona lwn Paris Saint-Germain
Sevilla lwn Borussia Dortmund
Atalanta lwn Real Madrid