"JOJO masih muda, perjalanan masih jauh".


Ringkasan AI
  • Muhammad Johan Ghazali Zulfikar, atau Jojo, tewas dalam pertarungan Muay Thai di ONE 167 pada Sabtu, tetapi peminat memberikan sokongan untuk perjalanan masa depannya.
  • Walaupun Johan kalah, dia menunjukkan aksi yang menghiburkan dan berani melawan juara Vietnam, Nguyen Tran Duy Nhat, yang menggunakan pengalaman dalam pertarungan.
  • Netizen memberikan dorongan kepada Johan, yang pada usia 17 tahun, telah mencatatkan sejarah dengan kontrak bernilai AS$100,000 dengan ONE Championship, dan menunjukkan prestasi cemerlang dalam pertarungan sebelum ini.


Itu antara kata-kata semangat peminat Muay Thai tanah air selepas atlet tempur muda negara Muhammad Johan Ghazali Zulfikar tewas dalam pertarungan Flyweight di ONE 167 pada Sabtu.

Johan yang mesra disapa Jojo tewas bermaruah kepada juara WMF Muay Thai lima kali dari Vietnam, Nguyen Tran Duy Nhat di Impact Arena, Bangkok, Thailand.

Biarpun tewas, Johan,17, berjaya menampilkan aksi garang dan menghiburkan sepanjang pertarungan tiga pusingan Flyweight itu.

Tran Duy yang berusia 35 tahun nyata menggunakan pengalamannya dalam pertarungan tersebut untuk mata demi mata dalam tiga pusingan.

Namun, netizen kurang senang dengan strategi jaguh dari Vietnam itu yang lebih banyak 'lari' daripada terus bersemuka Johan di tengah gelanggang.

Malah pada pusingan kedua, Johan yang mewakili Rentap MuayThai Gym kelihatan menjerit ke arah Tran Duy supaya berlawan di tengah gelanggang.

Menjengah komen di media sosial, rata-rata peminat mendoakan kejayaan Johan pada masa hadapan.

Pelakon tanah air, Azhar Sulaiman berkata: "Come home....stay away from the spotlights and regain back your focus and sharpness.Your mind maybe telah sedikit disturbed and tak focus (Pulanglah....jauhkan diri dari lampu sorot dan dapatkan kembali fokus dan ketajaman anda. Fikiran anda mungkin telah sedikit terganggu dan tidak fokus)."

"Tahniah Jojo...masih muda...masih banyak masa untuk bertarung baiki kesilapan. Nguyen asyik lari je pun," kata Ezu Zul Killi.

"Nguyen gunakan teknik pukul lari elak... pukul lagi... curi mata berharga...pengalaman menjadi kelebihan Nguye," kata Usu Qiya.

"Jojo yang terbaik jauh langkah.. umur baru 17 tahun member umur 35.. aku umur 17 tahun minta duit dengan mak lagi isi minyak motor... kepada wira wirawati papan kekunci sila bertarung sendiri dalam gelanggang," kata Shazmie Shafee.

"Ini adalah permainan pertarungan, kalah menang itu perkara biasa, superstar seperti Rodtang, Superbon, Tawanchai, Nong O, Yodsanklai, Sam A, pun pernah kalah. Maju ke hadapan, anda sudah melakukan yang baik. Sebagai peminat Muay Thai, kami amat berbangga dengan anda. Kembali lebih kuat Jojo," kata Siong Joannes.

Pada Oktober tahun lalu, Johan mencipta sejarah apabila menjadi atlet tempur termuda memperoleh kontrak bernilai AS$100,000 (RM463,300) dengan ONE Championship.

Berdasarkan rekod kemenangan 5-0 termasuk empat menerusi kiraan knockout (KO) sepanjang saingan musim lalu, Johan turut diangkat sebagai Bintang Muda Paling Menyerlah 2023 oleh ONE Championship.

Paling diingati, Johan hanya memerlukan 36 saat menumbangkan juara Muay Thai WBC dari Mexico, Edgar Tabares pada Disember lalu. - Sinar Harian