PETARUNG sensasi muda negara dari ONE Championship, Johan “Jojo” Ghazali bakal membuat penampilan istimewa di AWANI Pagi, Sabtu ini.


Ringkasan AI
  • Johan -Jojo- Ghazali, petarung muda dari Sarawak, akan muncul di AWANI Pagi, Sabtu ini.
  • Johan, yang mempunyai rekod profesional 5-1 di ONE Championship, dikenali dengan gaya bertarungnya yang agresif dan penuh keyakinan.
  • Meskipun baru berusia 18 tahun, Johan bertekad untuk bangkit dari kekalahan pertama dan bercita-cita menjadi juara dunia ONE Muay Thai.


Bintang yang semakin meningkat naik itu mencuri perhatian dunia Muay Thai dengan gaya bertarungnya yang mengagumkan serta keyakinannya yang tinggi.

Berasal dari Sarawak, Johan sudah terdedah kepada sukan Muay Thai sejak kecil, berkat didikan ibu bapanya yang juga merupakan petarung Muay Thai.

Dengan darah campuran unik – ibu dari Amerika, dan ayah berketurunan Melayu, Indonesia, dan Jepun – Johan, atau lebih mesra dipanggil 'Jojo', mula berjinak dengan Muay Thai pada usia 10 tahun.

Selepas menempuh beberapa pertarungan awal di Malaysia, Jojo meneruskan pula cabaran di Thailand sehingga akhirnya menempa kejayaan dengan meraih empat kemenangan berturut-turut di ONE Friday Fights, sekali gus memperoleh kontrak bernilai AS$100,000.

Jojo yang kini memegang rekod profesional sebanyak lima kemenangan dan satu kekalahan (5-1), mula beraksi di ONE Championship sejak Februari tahun lalu, selepas berjaya meraih kontrak enam angka di organisasi itu dalam acara siri ONE Friday Fights.

Baru berusia 18 tahun, petarung yang mewakili Rentap Muay Thai Gym itu dilihat sebagai bintang yang meningkat naik dalam arena sukan tempur tahun ini.

Bakatnya semakin disedari terutama selepas kejayaan menumpaskan Edgar Tabares, yang merupakan juara Muay Thai Antarabangsa WBC, dalam masa hanya 36 saat pada penampilan sulung aksi Primetime US, ONE Championship pada Disember tahun lepas.

Namun, pada Jun lalu, Jojo menerima kekalahan pertama dalam kariernya apabila tewas kepada petinju Vietnam, Nguyen Tran Dhuy Nhat menerusi keputusan sebulat suara (unanimous decision), selepas tiga pusingan.

Bagaimanapun, kesungguhan yang ditonjolkan Jojo dalam pertarungan tersebut membuktikan dia berjaya memberikan saingan yang hebat kepada jaguh Vietnam yang berusia 35 tahun itu.

Kekalahan itu juga langsung tidak melemahkan semangatnya, malah dia bertekad untuk bangkit semula dan berazam muncul sebagai juara dunia ONE Muay Thai satu hari nanti.

Untuk mengetahui apa 'pelan' Jojo seterusnya, jangan lupa janji temu anda esok bagi mengenali lebih dekat bintang muda ini bersiaran di AWANI Pagi!