SHAH ALAM: Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah menitahkan pengurusan Selangor FC (SFC), kelab penyokong dan penyokong-penyokong khususnya Ultras Selangor agar menjaga tingkah laku bagi mengelak berlakunya perselisihan faham serta pergaduhan ketika perlawanan membabitkan pasukan tersebut.

Pesanan itu disampaikan oleh baginda melalui sepucuk warkah kepada pengurusan Selangor FC pada 10 Okt lepas, berikutan keadaan semasa dan keprihatinan terhadap semangat persaingan yang semakin memuncak dalam saingan Liga Super musim ini.

Melalui hantaran di laman Facebook Selangor Royal Office, Sultan Sharafuddin yang juga Penaung Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS), menzahirkan titah agar tidak berlaku lagi perselisihan faham dan pergaduhan di dalam mahupun luar padang, yang berpotensi mengundang permusuhan dan keganasan.

"Baginda mahu setiap pemain dan juga penyokong harus bijak serta rasional dalam mengawal emosi agar tidak terjerumus dengan provokasi yang boleh memberi kesan negatif, dan akhirnya membinasakan," menurut hantaran itu.


Titah baginda dalam bola sepak, menang atau kalah adalah adat pertandingan, namun perkara lebih penting, semua yang terlibat meraikan pihak yang berjaya dan mengambil tauladan daripada setiap kekalahan.

Sultan Sharafuddin juga menzahirkan harapan agar bola sepak kekal menjadi sukan yang menyatupadukan rakyat, tanpa sebarang anasir luar yang cuba merosakkan semangat tersebut.

-- BERNAMA