Yusri berkata para pemain perlu mengambil pengajaran dan sedar bahawa kelalaian mereka dalam perlawanan hanya akan membawa padah.
"Apabila kita cuai dalam tindakan ia akan beri peluang kepada pasukan lawan untuk mengambil kesempatan dan akhirnya kita akan dihukum.
"Kita beraksi dengan cukup baik malam ini namun kita dinafikan peluang kemenangan mahupun keputusan mendapat sekurang-kurangnya satu mata," katanya dalam sidang media selepas tamat perlawanan malam tadi.
Yusri berkata pihak lawan berjaya mendapatkan gol pembukaan dan menambah satu lagi gol pada babak kedua yang berpunca daripada serangan balas.
"Kami bermula dengan baik apabila mendapat gol awal malah memberi tekanan kepada Selangor namun kelalaian pemain kita telah menyebabkan kita ketinggalan selain gagal mencetak gol.
"Selepas rehat, kami cuba bangkit dengan memberi tekanan tetapi kelalaian dan kesilapan telah menyebabkan kami dihukum sekali lagi. Ketinggalan dua gol mengakibatkan kami terus memburu gol namun sudah lewat dan lawan juga telah menutup ruang sehingga menyukarkan pergerakan," katanya.
Menurut Yusri walaupun keputusan malam tadi mengecewakan namun pihaknya perlu bangkit segera dan mengenal pasti kesilapan untuk pertembungan dengan Sri Pahang FC dalam aksi Piala Malaysia, Ahad ini di Temerloh.
Sementara itu, jurulatih Selangor FC Katsuhito Kinoshi berkata pihaknya bersyukur mengecapi kemenangan dan berjaya membawa pulang tiga mata berharga.
"Saya berpuas hati dengan corak perlawanan ditunjukkan pasukan saya termasuk persembahan mereka, bukan sahaja kesebelasan utama malah pemain gantian.
"Kesemua pemain telah memberikan sumbangan masing-masing dan inilah kunci kejayaan pasukan malam ini. Paling penting, kami perlu terus percaya dengan diri sendiri dan keupayaan masing-masing, kerana tanpa kedua-dua ini, sukar untuk mencapai kejayaan," kata Kinoshi.
-- BERNAMA