Kejayaan itu dilakar penembak Pahang, Cheah Zen Hong yang membidik 576 mata dalam perjalanan untuk meraih emas acara 10 meter Air Pistol individu dan berpasukan lelaki di Lapang Sasar Sarawak, di sini.
Catatan itu berjaya mengatasi bidikan 574 mata oleh atlet seniornya, Abdul Hadi Abdul Malik pada SUKMA 2012.
Semalam, pembidik dari Negeri Sembilan Gan Chen Jie mencatatkan 574 mata dalam acara 50m Raifal 3 Posisi individu wanita untuk memadamkan rekod 569 mata milik Nurul Syafani Nabilah Abdul Razak dari Perak pada edisi 2022 di Kuala Lumpur.
Lebih banyak rekod temasya, malah rekod kebangsaan dijangka diperbaharui apabila saingan olahraga dan renang membuka tirai, esok.
Sementara itu, Eidelweiss Franzel Francey Sami menamatkan kemarau 24 tahun kontinjen tuan rumah untuk emas dalam sukan karate, apabila muncul juara kumite (pertarungan) atas 68 kilogram (kg) wanita di Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN), Miri.
Petarung berusia 18 tahun itu mencipta sejarah berkenaan selepas menundukkan Mirza Amirah Syuhada Mohd Faizal dari Terengganu 8-6 pada aksi final.
Kelantan pula akhirnya menuai emas pertama pada edisi kali ini, apabila A. Vijiyaraj muncul juara acara kumite 75kg lelaki dengan menewaskan S. Pavithran Pillai dari Johor pada final.
Setakat ini, Kelantan turut meraih sebutir perak dan lapan gangsa, kesemuanya menerusi sukan mempertahankan diri - karate, taekwondo, wushu dan Muay Thai.
Sejak beberapa acara SUKMA 2024 berlangsung pada 12 Ogos, Sarawak terus mengungguli carta pingat dengan kutipan 23 emas, 14 perak dan 15 gangsa, diikuti Wilayah Persekutuan (15-15-26), Terengganu (10-10-12) dan Melaka (8-6-10).
Sebanyak 59 pingat emas menjadi buruan esok dengan sebahagian besar dalam acara renang (lapan), terjun (dua) dan olahraga (sembilan).
-- BERNAMA