KUALA LUMPUR: Setelah beberapa siri perbincangan sebelum ini, Kejohanan Sukan SEA ke-31, yang dijadualkan berlangsung pada 21 Nov hingga 2 Dis depan di Hanoi, akhirnya akan ditunda ke tahun hadapan berikutan pandemik COVID-19.

Majlis Olimpik Malaysia (MOM) dalam satu kenyataan memaklumkan Persekutuan Sukan SEA (SEAGF) memutuskan demikian dalam mesyuarat secara maya yang diadakan hari ini, selepas dua kali menolak cadangan penangguhan kejohanan itu, sebelum ini.

Majlis SEAGF akan menentukan tarikh baharu kejohanan itu kelak.

"Anggota SEAGF memuji usaha yang telah dilakukan oleh Jawatankuasa Olimpik Vietnam (VOC) setakat ini, namun mereka memandang serius mengenai situasi semasa pandemik COVID-19 di rantau Asia Tenggara," demikian menurut kenyataan itu.

Sebelum ini, media melaporkan VOC mencadangkan agar temasya itu ditunda ke Mac atau Jun tahun hadapan berikutan peningkatan jumlah kes COVID-19 di Vietnam serta negara-negara lain di rantau ini, yang turut menjejaskan persiapan tuan rumah itu.

Vietnam, yang akan menganjurkan kejohanan Sukan SEA buat kali kedua selepas edisi 2003, telah menyenaraikan sebanyak 520 acara daripada 40 sukan bagi edisi kali ini.

Keputusan penangguhan itu bakal menyaksikan jadual sukan yang padat bagi kalendar 2022 termasuk Sukan Olimpik Musim Sejuk Beijing dari 4 hingga 20 Feb, Sukan Komanwel Birmingham (28 Julai-8 Ogos) dan Sukan Asia Hangzhou (10-25 Sept).

Sebelum ini, Malaysia adalah antara lapan negara yang menolak cadangan penangguhan Sukan SEA Hanoi ke tahun hadapan atas sebab-sebab tertentu.

-- BERNAMA