Stadium Stade de France yang penuh sesak dengan penonton, atlet dan para kenamaan menjadi tumpuan majlis penutup yang memukau dipenuhi dengan persembahan hebat termasuk penghormatan kepada kehidupan malam Paris mengikut irama muzik elektronik.
Penyanyi Perancis, Santa, memulakan persembahan dengan mendendangkan lagu ikonik Johnny Hallyday, Vivre pour le Meilleu, dengan penuh bertenaga yang memberikan aura luar biasa kepada acara tersebut.
Barisan atlet daripada 168 delegasi Paralimpik berarak dengan penuh kebanggaan dalam stadium, disambut sorakan gemuruh dari penonton dan diiringi oleh pancaragam Pengawal Republik yang menambah kemeriahan suasana dengan mempersembahkan pilihan lagu popular Perancis dan antarabangsa.
Selepas Presiden Jawatankuasa Paralimpik Antarabangsa, Andrew Parsons mengisytiharkan temasya sukan itu ditutup dengan rasmi disusuli dengan persembahan oleh lapan penari termasuk atlet kurang upaya mengikut rentak DJ Perancis, Cut Killer.
Bendera Paralimpik kemudian diturunkan oleh pegawai Tentera Perancis sebelum diserahkan oleh Datuk Bandar Paris, Anne Hidalgo kepada Parsons yang menyerahkannya pula kepada Datuk Bandar Los Angeles, Karen Bass.
Ia sebagai simbolik bandar tersebut akan menjadi tuan rumah untuk edisi Sukan Paralimpik Los Angeles 2028.
Penonton 'dibawa' ke pesta maya di Venice Skate Beach Park, California, menampilkan persembahan oleh bintang antarabangsa dan pemenang Anugerah Grammy lapan kali Anderson .Paak, bersama kumpulannya yang mempersembahkan lagu hit mereka, Come Down.
Obor Paralimpik kemudian memasuki stadium dalam tanglung yang dipegang oleh beberapa atlet Paralimpik Perancis termasuk bintang boccia dan pemenang pingat emas individu wanita BC1 (kecacatan fizikal), Aurelie Aubert, sebelum ia dipadamkan dengan sekali nafas.
Walaupun hujan, kemuncak majlis penutup menampilkan 23 DJ muzik elektronik diketuai oleh Jean-Michel Jarre, bapa muzik elektronik Perancis serta Kavinsky, yang meraikan kepelbagaian industri muzik elektronik Perancis yang penuh rancak.
China muncul sebagai juara keseluruhan buat kali keenam berturut-turut dengan 94 pingat emas, 76 perak, dan 50 gangsa diikuti oleh Great Britain (49-44-31) dan Amerika Syarikat (36-42-27).
Malaysia, bagaimanapun, menamatkan kempen mereka dengan kekecewaan di kedudukan ke-42 apabila gagal mencapai sasaran empat pingat emas dengan membawa pulang dua emas, dua perak dan sebutir gangsa. - BERNAMA