Paralimpik Paris 2024: Nur Syaiful perbaiki prestasi, akhiri di tempat ketujuh
Nur Syaiful menamatkan acara terakhirnya di Paris La Defense Arena dengan catatan masa 34.34 saat (s).
Bernama
Thu Sep 05 2024
Perenang negara Nur Syaiful beraksi dalam acara 50M gaya bebas Lelaki S5 (kecacatan fizikal ) akhir Sukan Paralimpik Paris 2024. - Foto BERNAMA
PARIS: Perenang para negara, Muhammad Nur Syaiful Zulkafli menutup kempen Sukan Paralimpik Paris 2024 dengan menduduki tempat ketujuh dalam acara 50 meter (m) gaya bebas lelaki S5 (kecacatan fizikal) di sini, pada Khamis.
Nur Syaiful yang memulakan saingan di lorong kelapan dilihat ketinggalan dari awal saingan dan menamatkan acara terakhirnya di Paris La Defense Arena dengan catatan masa 34.34 saat (s).
Kesemua pingat ditawarkan dalam acara tersebut dibolot perenang China diketuai Guo Jincheng yang merekodkan masa 29.33s sekali gus memecahkan rekod dunianya sendiri iaitu 29.78s ketika kejohanan di Manchester, Julai 2023.
Pingat perak menjadi milik Yuan Weiyi (30.80s) dan gangsa diraih Wang Lichao (31.23s).
Nur Syaiful bagaimanapun berjaya memperbaiki prestasinya pada final selepas menduduki tempat kelapan dengan catatan 34.51s dan menjadi perenang terakhir menyambar slot ke final daripada dua aksi saringan pagi semalam.
Atlet berusia 29 tahun dari Sarawak itu berada di tempat keempat pada saringan kedua.
Beliau yang beraksi dalam dua final sebelum ini menduduki tempat keenam dalam acara 100m gaya bebas lelaki S5 selepas merekodkan 1 minit 16.60s dan juga kedudukan sama dalam 100m kuak dada lelaki SB4 menerusi catatan masa 1:46.71s.