KUALA LUMPUR: Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh memberi sokongan penuh kepada jaguh berbasikal trek kebangsaan Datuk Mohd Azizulhasni Awang dalam menghadapi saat sukar ketika ini susulan insiden dibatalkan penyertaan pada pusingan pertama acara keirin Sukan Olimpik Paris 2024, malam tadi.

Beliau berharap semua pihak dapat bersikap baik dan menghormati detik sukar sedang dilalui pelumba negara berusia 36 tahun itu serta keluarganya kerana sudah banyak pengorbanan dilakukan selama bertahun-tahun kerana ketiadaannya bagi menjalani latihan dan pertandingan di luar negara.

"Bagi ibu bapa yang menonton perlumbaan bersama anak-anak mereka dan perlu berdepan banyak soalan seperti Apa yang berlaku? dan Kenapa?, luangkan masa untuk menjelaskannya kepada mereka.

"Ia tidak akan mudah tetapi anda mesti membantu mereka memprosesnya walaupun anda sendiri berjuang untuk menerimanya. Dalam sukan, peraturan akan mengikat anda.

"Berbuat baiklah dengan kata-kata. Azizul The Pocket Rocketman kita, saya akan sentiasa menyokong keputusan anda untuk berlumba kerana anda kekal sebagai seorang atlet terbaik Malaysia.

"Kesejahteraan anda kini menjadi keutamaan saya. Kami sayang kamu," katanya dalam kenyataan disiarkan di Facebook hari ini.


Hannah turut melahirkan rasa kecewa terhadap keputusan untuk pembatalan penyertaan Mohd Azizulhasni walaupun dan rayuan telah dibuat oleh pasukan.

"Saya marah dengan keputusan untuk membatalkan penyertaan Azizul - sila rujuk hantaran beliau sebelum ini. Adakah pasukan membuat rayuan? Ya tapi keputusan untuk menyingkirkannya adalah muktamad," katanya.

Sementara itu, Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz menerusi hantaran di Facebooknya turut memberikan kata-kata semangat kepada Mohd Azizulhasni.

"Tetap kuat, Jijoe! Kami akan sentiasa mengingati semua kegembiraan yang anda bawa untuk kami peminat Malaysia selama bertahun-tahun semasa Sukan Olimpik, #KitaSemuaTeamMAS #basikal #olimpik #Paris2024 #TZA," katanya.

Legenda skuasy negara Datuk Nicol David yang juga Timbalan Ketua Kontinjen Malaysia ke Sukan Olimpik Paris 2024 meminta seluruh rakyat Malaysia untuk bersama-sama dan menunjukkan solidariti berhubung situasi dihadapi Mohd Azizulhasni ketika ini.

"Jika ada orang patah hati hari ini, dialah (Mohd Azizulhasni), dia mengalami kesakitan dan kekecewaan luar biasa dan kami sepatutnya berada di sini untuk menghulurkan bahu dan bantuan.

"Kita tidak boleh menyakiti lebih dalam kepada seseorang sudah dalam kesakitan - bukan itu yang kita lakukan apabila seseorang sedang berada di bawah.

"Kepada semua rakyat Malaysia - marilah kita menyokong dan menghormati juara kita yang telah membanggakan negara.

"Mari kita wujudkan solidariti dan belas kasihan serta tunjukkan nilai sebenar kita rakyat Malaysia," katanya.

Mohd Azizulhasni dibatalkan penyertaan dalam saringan pertama acara keirin lelaki kerana dikesan memintas derny - basikal elektrik bertindak sebagai pacer sebelum garis permulaan di Saint-Quentin-en-Yvelines Velodrome.

Pada saringan pertama itu, pemenang pingat perak Sukan Olimpik Tokyo 202 itu berdepan Matthew Glaetzer dari Australia, Rayan Helal (Perancis), Kaiya Ota (Jepun), Jeffrey Hoogland (Belanda) dan Jai Tjon En Fa (Suriname).

-- BERNAMA